Melaka tubuh sekretariat WTD2025
AYER KEROH 24 Oktober – Pertemuan antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan diadakan bagi membincangkan mengenai persediaan awal Melaka yang dipilih sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD2025).
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, perjumpaan dijadualkan Khamis ini bertujuan membincangkan penubuhan sekretariat WTD2025 bagi memastikan penganjuran acara bertaraf dunia itu lancar serta memberikan impak yang positif.
“Melaka tidak boleh mempersia-siakan kepercayaan yang diberi kali ini, kita akan berbincang bersama Motac untuk memastikaan persiapan itu dilakukan BERMULA sekarang, sebelum 150 buah ketua negara daripada Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) berkampung di negeri ini.
“Penganjuran WTD2025 penting kerana ini adalah penganjuran kali pertama acara seumpama itu di Malaysia dan Melaka menjadi tuan rumah,” katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Seni dan Budaya Negeri (ASBN) Melaka 2022/2023 diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni dan Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Suhaimi Abdul Rahim dan Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias.
Baru-baru ini, Perhimpunan Agung Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) ke-25 di Samarkand, Uzbekistan dari 16 hingga 20 Oktober lalu telah mengumumkan WTD2025 akan dianjurkan di Malaysia dengan Negeri Melaka sebagai tuan rumah.
Menurut Abdul Razak, keputusan itu dianggap sebagai amat tepat, malam ia mampu menjadi salah satu penanda aras kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Motac yang telah menamakan Melaka dan sebulat suara nama negeri ini telah diumumkan sebagai tuan rumah dalam Perhimpunan Agung WTO di Uzbekistan, baru-baru ini.
“Ini satu kebanggaan buat Melaka kerana acara ini belum pernah diadakan di Malaysia, lebih-lebih lagi memilih Melaka sebagai tuan rumah adalah satu pengiktirafan yang besar buat Negeri Melaka,” katanya.
WTD2025 dijadual berlangsung pada 27 September 2025, bertemakan `Tourism and Sustainable Transformation’ bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan pelancongan dan nilai sosial, budaya, politik dan ekonomi sejagat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.