
MELAKA UMUM 7 INISIATIF BAHARU PELANCONGAN
DUYONG 25 Oktober – Sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, Melaka memperkenalkan tujuh inisiatif pelancongan baharu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu diperkenalkan bukan sahaja untuk membawa pelancongan Melaka lebih progresif, bahkan ia juga membantu pelancong melawat ke lebih banyak tarikan menarik dengan harga lebih murah.
Jelas Ketua Menteri, inisiatif pertama adalah Pakej Bersepadu Pelancongan Melaka, di mana pelancong hanya perlu bayar satu harga, untuk melawat lima produk utama pelancongan.
Menurut beliau, lima produk itu adalah Melaka River Cruise; Menara Taming Sari; Muzium Kapal Flor de la Mar; Muzium Istana Kesultanan Melaka dan menyaksikan persembahan kebudayaan di Panggung Bangsawan.
Tambah Ab Rauf, inisiatif kedua adalah pelancaran Melaka Smart Tourist Card (MSTC), sebagai pas yang membolehkan pelancong menikmati diskaun di pelbagai lokasi dan tempat tarikan utama yang lain dengan hanya menunjukkan kad tersebut.
“Ketiga, pakej Hop On Hop Off Cruise, di
mana pengunjung boleh meletakkan kenderaan di kawasan yang disediakan dan boleh naik serta turun dari mana-mana jeti.
“Syaratnya, pengguna mesti membeli pas cruise sehari atau tiga hari pada 1 harga yang murah dan boleh digunakan dari pagi sehingga ke malam, serta menginap di hotel atau homestay berhampiran di sepanjang Sungai Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Lestari Seni Budaya – Majlis Perasmian Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025 di Dataran Pengkalan Rama.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka Mohd Radzi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris; Pengarah JKKN Negeri Melaka Ezlina Alias serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri memaklumkan, inisiatif seterusnya adalah berkait perkhidmatan ‘cruise’ yang diperkenalkan sebagai nilai tambah produk pelancongan ke arah memperkaya seni warisan.
Beliau berkata, antaranya, ‘Cruise & Cultural Pass’, iaitu tiket yang merangkumi Melaka River Cruise dan lawatan ke Kampung Morten atau Panggung Bangsawan bagi menyaksikan persembahan kebudayaan.
Selain itu, ujar beliau, turut diperkenalkan Taste Of Melaka Trail @ Sungai Melaka, di mana pelancong diberi baucar bernilai RM20 ke RM30 untuk mencuba makanan ikonik seperti asam pedas, cendol, kuih keria dan pelbagai lagi.
“Inisiatif Hotel Dan Penginapan pula membolehkan mana-mana pelancong yang menginap 3 hari 2 malam mendapat tiket percuma ke Melaka River Cruise, Eco Cruise Sungai linggi, Eco Cruise Tasik Chin Chin atau Menara Taming Sari.
“Manakala, inisiatif Warisan dan Pendidikan, menerusi Cultural Pass For Students pula berkonsepkan pemberian diskaun khas kepada pelajar sekolah dan IPT untuk melawat tempat-tempat bersejarah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


