Melaka umum perubahan 13 ketua agensi, anak syarikat

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 8 Februari – Kerajaan Negeri Melaka, hari ini, mengumumkan pelantikan 13 ketua jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri bagi mengukuhkan lagi tadbir urus serta sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pelantikan itu berkuat kuasa pada 1 Februari 2023.

Mendahului senarai, ialah Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang dilantik sebagai Pengurus Besar Yayasan Melaka yang baharu.

Turut dilantik ialah Datuk Mohamad Azmi Sabtu sebagai Ketua Eksekutif YM Mediscience Sdn. Bhd., anak syarikat Yayasan Melaka.

Selain itu, perubahan tersebut turut membabitkan beberapa badan berkanun negeri.

Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) kini diterajui Fadhillah Md. Salleh sebagai Pengurus Besar; Akmal Abdul Manap dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) dan Ismail Hashim dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka.

Turut dilantik, Datuk Wira Hasnoor Sidang Husin sebagai Pengurus Besar Melaka Sentral Sdn. Bhd.; Abdul Hakim Abdul Wahid dilantik sebagai Pengurus Besar Melaka Halal Hub Sdn. Bhd.; Rohazam Bakar sebagai Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn. Bhd. dan Nurman Mohd Baroldin sebagai Pengurus Sungai Melaka Ventures Sdn. Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pantai dan Sungai Melaka.

Anak syarikat di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pula menyaksikan Datuk Shafrie Abdullah dilantik sebagai Pengurus MAIM Bentara Security Sdn. Bhd., manakala MAIM Industries Sdn. Bhd. pula diterajui Zohaime Md Sori sebagai Pengurus.

Perubahan pelantikan itu turut membabitkan Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CBLG) iaitu Institut Warisan Melaka (INSWA) yang mana jawatan Pengurus Besarnya kini disandang Abdul Malek Bador.

Manakala anak syarikat Universiti Melaka (UNIMEL), iaitu ICM Industries Corporation Berhad, ICM Construction Sdn. Bhd. dan ICM Trading Sdn. Bhd. kini diterajui Shahfulrizal A. Bakar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Semua pelantikan itu susulan daripada keputusan Kerajaan Negeri pada Disember tahun lepas, di mana semua ketua jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember 2022, dilanjutkan satu bulan lagi sehingga 31 Januari 2023.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

17419
Kongsi :
Previous post Khatam al-Quran mantapkan elemen j-QAF
Next post Kertas putih kes Batu Putih akan dibentang di Parlimen untuk tindakan selanjutnya
Ubah saiz-+=