
MELAKA WUJUD ‘LEBUH RAYA DIGITAL’ PERTAMA NEGARA
SERI NEGERI 27 Ogos – Melaka bakal mewujudkan ‘Lebuh Raya Digital’ pertama di Malaysia menerusi peluasan infrastruktur gentian optik berkelajuan tinggi bagi memperkukuh kesalinghubungan digital di seluruh negeri.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan lebuh raya digital itu penting bagi memastikan Melaka mempunyai rangkaian digital yang lebih pantas, stabil dan berkeupayaan tinggi untuk memenuhi keperluan rakyat serta pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurutnya, pembangunan berkenaan turut menyaksikan peralihan daripada penggunaan teknologi ‘microwave’ yang mempunyai kapasiti dan kelajuan lebih terhad kepada rangkaian gentian optik yang menawarkan prestasi lebih baik.
“Kita mahu mewujudkan Lebuh Raya Digital pertama di Malaysia di Melaka. Kalau dahulu kita menggunakan teknologi microwave yang mempunyai beberapa kekangan, tetapi sekarang kita beralih kepada fiber optik yang memberikan kelajuan dan keupayaan jauh lebih baik.
“Ini termasuk memperluas kawasan liputan fiber optik supaya lebih banyak kawasan di Melaka dapat menikmati kesalinghubungan digital yang lebih baik,” katanya pada sidang media Majlis Pertukaran Perjanjian Kerjasama Strategik: Fiberisasi Menara Telekomunikasi Bagi Memacu Transformasi Digital Di Seluruh Negeri Melaka antara Melaka ICT Holdings (MICTH) Sdn Bhd dengan Maxis Berhad di Bilik Tun Bijasura, Pejabat Ketua Menteri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Pegawai Eksekutif MICTH Dr. Nazdiana Ab Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Berhad Goh Seow Eng serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, kesalinghubungan digital kini bukan lagi sekadar kemudahan sampingan, sebaliknya telah menjadi satu keperluan asas dalam pembangunan negeri dan kehidupan seharian rakyat.
“Pembangunan negeri hari ini bukan sahaja memerlukan jalan raya, utiliti dan kemudahan fizikal yang baik, tetapi juga ‘Lebuh Raya Digital’ yang mampu menghubungkan rakyat kepada lebih banyak peluang.
“Kesalinghubungan digital menjadi asas kepada pendidikan, perniagaan, penyampaian perkhidmatan kerajaan, pelaburan serta kehidupan seharian rakyat,” katanya.
Menurutnya, kolaborasi antara Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. dan Maxis Berhad bukan sekadar pemeteraian perjanjian, sebaliknya menjadi antara langkah penting selari dengan aspirasi Smart Melaka Blueprint 2035, yang meletakkan infrastruktur digital sebagai salah satu asas kepada pembangunan Melaka sebagai
sebuah negeri pintar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


