Sorting by

×

Mendepani perubahan dan teknologi kepada kebolehpasaran graduan masa depan

Masa Membaca:3 Minit, 39 Saat

Dunia kontemporari sedang pesat dilanda arus perubahan pantas dalam setiap dimensi kehidupan. Pasca pandemik COVID-19, perang Rusia dengan Ukraine, konflik di Timur Tengah antara Israel dengan Palestin yang belum menampakkan kesudahan, perang dingin antara Amerika Syarikat dan China, serta kemajuan teknologi canggih, ternyata memberi impak kepada perubahan global.

Ekonomi dunia pula diunjurkan akan berkembang pada kadar 3 peratus tahun 2023, dijangka bakal menguncup kepada 2.7 pada tahun 2024. Manakala ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 5.6 peratus pada suku tahun pertama dan 2.9 peratus pada suku tahun kedua. Trend ini sedikit sebanyak memberi kesan kebolehpasaran graduan masa depan.

Menurut Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi ketika menyampaikan ucaputama di Persidangan Pasaran Kerja Graduan pada 1 November 2023, anjuran Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), beliau menekankan berhubung kepentingan memperkasakan hubungan

strategik antara universiti dan industri, bagi meningkatkan kualiti kebolehpasaran graduan serta menghasilkan kuantiti graduan memperoleh gaji premium.

Bagi meningkatkan kualiti graduan, mengurangkan pengangguran dan ketidakpadanan pekerjaan, KPT proaktif menggariskan empat strategi utama iaitu, semakan berterusan kandungan dan kualiti pengajian; mempergiat kerjasama erat dengan industri; kerjasama rentas kementerian dan agensi; memantapkan platform yang berupaya memadankan industri dan graduan.

Salah satu contoh kerjasama misalnya melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT dan SIRIM mencakupi pelbagai program termasuk pensijilan kualiti dan pengiktirafan yang berkaitan.

Antara contoh lain, dengan mewujudkan platform digital iaitu, Graduate Employability Management (GEM) bagi membolehkan graduan di bawah KPT memohon latihan amali dan pekerjaan serta membantu pihak industri mengenalpasti graduan yang bersesuaian.

Sejajar itu, Profesor Dr Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi semasa melancarkan Karnival Kerjaya 20 Universiti Awam anjuran KPT dan Majlis Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam (MyGRAD) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka pada 28 Oktober lalu, beliau berkata, kadar kebolehpasaran graduan universiti awam meningkat daripada 85.5 peratus pada 2021 kepada 90.2 peratus pada 2022. Beliau turut menyambut baik program tersebut, yang berjaya membantu sekitar 8 ribu orang mendapat pekerjaan dan menarik 20 ribu pengunjung. Walaupun begitu, beliau membangkitkan 3 isu utama yang perlu diberikan perhatian serius iaitu, pengangguran graduan, ketidakpadanan kerja dan gaji permulaan graduan yang rendah.

Justeru, apakah lagi inisiatif terbaik untuk memperkasakan graduan yang kalis masa depan?

Pertama, usaha bersepadu dan konkrit dalam menggembleng kesemua pemegang taruh dalam merealisasikan kolaborasi strategik bagi mempersiaga graduan berkualiti serta bernilai tinggi yang memenuhi kehendak industri dan teknologi terkini, relevan dengan tuntutan semasa. Contohnya melalui program seperti Industry@University, CEO@Faculty dan Industry Advisory Council.

Kedua, memperhebat ikhtiar-ikhtiar bagi meningkatkan bilangan peratusan graduan yang mendapatkan gaji premium di industri. Ini termasuklah mempergiat program-program pensijilan profesional yang memenuhi kehendak industri, memberi pendedahan latihan industri secukupnya melalui kaedah pembelajaran berasaskan pekerjaan seperti program pengajian mod 2u2i. Selain itu, program teaching factory juga dapat membantu ketersediaan graduan di industri.

Ketiga, dengan adanya platform pemadanan kerja yang komprehentif, graduan boleh mencari pekerjaan di industri dengan efisyen secara dalam talian. Di sudut industri pula, platform ini memudahkan mereka untuk mencari graduan-graduan berpotensi sesuai dengan kemahiran dan jawatan yang ditawarkan. Ini dapat mengurangkan peratusan ketidakpadanan pekerjaan dengan bidang pengajian graduan. Walaupun peratusan kebolehpasaran graduan universiti awam adalah agak tinggi, namun angka itu termasuk bagi graduan yang bekerja dalam ekonomi gig dan keusahawanan yang adakalanya tidak memerlukan pendidikan tertiari dan kelayakan tinggi.

Keempat, memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pemangkin kepada kemakmuran negara dengan membangunkan bakat tempatan baharu yang berkemahiran tinggi, termasuklah upskilling, reskilling dan multiskilling. Bukti komitmen Kerajaan melalui peruntukan keseluruhan Belanjawan 2024 untuk TVET berjumlah 6.8 bilion ringgit. Tumpuan juga diperluas dalam bidang kemahiran tinggi seperti Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence, yang bakal ditubuhkan di Universiti Teknologi Malaysia dengan peruntukan awal 20 juta ringgit.

Kelima, memperhebat program-program berimpak tinggi seperti Karnival Kerjaya yang berfokus kepada bidang-bidang pengajian di institusi pendidikan tinggi , forum-forum yang membincangkan isu pasaran kerja graduan masa depan seperti forum gaji premium dan persidangan kebolehpasaran graduan di peringkat antarabangsa.

Tuntasnya, bagai diungkap oleh pujangga, kita barangkali tidak boleh meramal dengan tepat tentang masa depan, apa yang pasti kini, kita mampu mempersiagakan graduan berkualiti untuk kegemilangan masa depan. Mustahaknya, “the best preparation for a successful tomorrow is doing your best today”. Pilihan ditangan kita!

Profesor Madya Datuk Dr. Sabri bin Mohamad Sharif

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni)

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Merangkap Pengerusi Kebolehpasaran Graduan Dan Kerjaya Universiti Awam (Mygrad)

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6185
Kongsi :
Previous post Jaguh rejam lembing antara penerima Anugerah Pelajaran Diraja UTeM
Next post Deepavali: Keluarga penghuni penjara dibenar melawat pada 14 dan 15 Nov
Ubah saiz-+=