
MENJEJAK TINGGALAN KESULTANAN MELAYU MELAKA DI KEM TERENDAK
SUNGAI UDANG 14 Januari – Misteri peninggalan Kesultanan Melayu Melaka kembali diselami menerusi Program Eksplorasi Menjejaki Monumen Kesultanan Melayu Melaka di Kem Terendak bermula semalam.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah berkata, eksplorasi ini bertujuan menjejaki monumen serta bukti fizikal berkaitan peninggalan Kesultanan Melayu Melaka berdasarkan catatan penulis Portugis terkenal, D’ Eredia.
Menurutnya, dalam buku ‘Description of Malacca’ D’ Eredia mencatatkan kewujudan sebuah kolam diraja di Tanjung Panchor yang pernah digunakan oleh Sultan Melaka suatu ketika dahulu.
“Eksplorasi ini memberi tumpuan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi menepati ciri-ciri fizikal seperti yang direkodkan oleh D’ Eredia. Kami berharap dapat menemukan sesuatu yang boleh dikaitkan dengan warisan Kesultanan Melayu Melaka,” katanya.
Eksplorasi itu diketuai oleh Kurator Bahagian Pemuziuman PERZIM Nurman Mohd Baroldin dengan kekuatan pasukan seramai 50 orang.
Pasukan ini turut dibantu oleh Prof Madya Dr. Zuliskandar Ramli dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Dr. Hasanuddin Yusof dari Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam (MAPTAMI).
Program itu turut mendapat sokongan padu daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan Markas Garison Terendak, Muzium Tentera Darat, Unit Forensik ATM dan Unit Sejarah ATM selain kumpulan penyelidik dari UKM serta MAPTAMI.
Menurut Erne, usaha ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam membongkar khazanah sejarah Melaka yang masih tersembunyi.
“Ia sekali gus memperkukuh pemeliharaan warisan Kesultanan Melayu Melaka untuk generasi akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


