Mensejahterakan Asahan jadi misi ‘Along’

Masa Membaca:5 Minit, 13 Saat

ASAHAN 13 September – Walaupun dikategorikan sebagai sebuah kawasan tadahan air yang terletak di pinggir bandar, namun usaha merancakkan ekonomi serta pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan tidak dilupakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Fairul Nizam Roslan berkata, selepas diberikan mandat oleh rakyat untuk menjaga DUN itu sejak 20 November 2021, beliau tidak pernah kenal erti penat menyelesaikan masalah dihadapi penduduk di DUN itu.

Menurutnya, antara aspek ditekankan demi kemajuan di DUN Asahan adalah memastikan sektor pembangunan, pendidikan, sukan, kemudahan kesihatan, ekonomi penduduk setempat dan pelancongan sentiasa ditambahbaik.

NAIK TARAF KLINIK KESIHATAN

Bagi memastikan keselesaan penduduk di DUN Asahan mendapatkan kemudahan kesihatan terjamin, sejumlah RM500,000 peruntukan disalurkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membaik pulih sembilan klinik kesihatan di DUN berkenaan.

2
FAIRUL Nizam ketika melawat cadangan tapak membangunkan masjid baharu di Batang Melaka.

“Kita ada sembilan klinik kesihatan, ada yang bermasalah daripada segi infrastruktur dan kita dah bawa turun penasihat Menteri Kesihatan melawat semua klinik ini.

“Ada isu bertahun tidak diselesaikan seperti masalah pendingin hawa yang rosak di Klinik Kesihatan Selandar yang memerlukan kos baik pulih RM500,000, kita cuba selesaikan sebab ia sudah berlarutan sejak tahun 2016.

“Sekarang kita sedang menunggu peruntukan daripada kementerian, kita dah dapat ulasan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), jika tidak dapat selesaikan tahun ini mungkin tahun hadapan,” katanya.

Katanya, selain itu Klinik Kesihatan Nyalas juga telah diberikan ambulans percuma bagi memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan lebih pantas.

BINA DEWAN BAHARU

Dalam aspek kemudahan pembangunan buat penduduk, Fairul Nizam yang mesra dengan panggilan Along akan berusaha untuk membina dua lagi dewan baharu bagi DUN itu memandangkan hanya sebuah dewan yang ada di Selandar untuk kegunaan penduduk.

“Kita di DUN Asahan hanya ada satu dewan iaitu Dewan Sasturi Selandar milik Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), kita telah angkat permohonan untuk membina dua lagi dewan orang ramai yang baharu iaitu di Pekan Nyalas dan di Pekan Asahan.

“Dewan di Nyalas ini kita nak berikan nama Dewan Ibu Zain kerana beliau salah serorang pemimpin yang lahir di Nyalas, manakala dewan di Asahan kita akan berikan nama Dewan Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan sempena jasa Allahyarham di kawasan ini.

“Kedua-dua dewan ini boleh memuatkan 1,000 tetamu pada satu-satu masa, setiap dewan menelan belanja kira-kira RM3.2 juta mengikut anggaran pihak JKR, selepas ini segala aktiviti kemasyarakatan seperti sukan, majlis perkahwinan dan lain-lain boleh diadakan di dewan ini,” katanya.

GELANGGANG FUTSAL BATANG MELAKA

Menurut Fairul Nizam sebuah gelanggang futsal baharu yang bernilai kira-kira RM150,000 juga telah siap dibina pada Ogos lalu dan dijangka diserahkan oleh MPJ pada hujung bulan ini.

“Selepas hampir 10 tahun pihak Japerun Asahan meminta gelanggang futsal baharu, alhamdulillah akhirnya Allah mudahkan urusan kita dan KPKT telah luluskan bagi pembinaan gelanggang ini pada bulan Julai lalu.

“Kita akan berikan namanya sebagai ‘Gelanggan Futsal Batang Melaka’, selepas ini penduduk khususnya anak-anak muda boleh melakukan aktiviti sukan di gelanggang tersebut memandangkan gelanggang yang ada di Japerun Asahan sudah uzur,” katanya.

STESEN MINYAK BAHARU DI PEKAN NYALAS

Demi menjaga keperluan penduduk di DUN Asahan, sebuah stesen minyak baharu akan dibina di Pekan Nyalas Kampung Mantai.

Fairul Nizam berkata, setakat ini pihak FIVE Petroleum Malaysia Sdn Bhd (FIVE), syarikat peruncitan minyak tempatan baharu telah bersetuju untuk membangunkan stesen minyak di kawasan tersebut.

3
PERBINCANGAN membangunkan stesen minyak bersama Syarikat Five Petroleum Malaysia Sdn Bhd di Pekan Nyalas.

“Setakat ini kita hanya ada dua stesen minyak iaitu di Batang Melaka (Petron) dan Selandar (Petronas), orang Asahan perlu pergi ke Simpang Bekoh untuk isi minyak, manakala orang Nyalas pula perlu ke Selandar yang mengambil masa 15 minit untuk sampai.

“Alhamdulillah kita dah tandatangan surat persetujuan dengan syarikat tersebut, Ketua Menteri juga sudah dimaklumkan untuk kerja pecah tanah, cumanya tarikh untuk pembinaan kita sedang usahakan secepat mungkin.

“Saya harap permohonan ini diluluskan dengan segera untuk memudahkan penduduk di DUN Asahan kerana kawasan ini sangat luas dan majoriti penduduknya ramai telah berpindah dan bekerja di Bandar Melaka,” katanya.

KAWASAN REKREASI MANTAI PARK

Selain itu, Fairul Nizam memaklumkan sebuah kawasan rekreasi awam Mantai Park berkeluasan 4.86 hektar bakal dibangunkan di Kampung Mantai berhadapan stesen minyak yang bakal dibina di Nyalas.

Menurut Fairul Nizam, ia memerlukan belanja kira-kira RM8.6 juta, yang mana kawasan rekreasi itu bakal menyediakan kemudahan seperti padang bola, balapan, gerai jualan, dewan serbaguna, pejabat atau agensi kerajaan negeri serta trek joging.

“Cadangan awal kita untuk Mantai Park ini adalah berhadapan dengan tapak stesen minyak baharu nanti, sebanyak 12 ekar (4.86 hektar) tanah yang kita cadangkan di peringkat MPJ dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sendiri.

“Kawasan rekreasi ini akan dibina di atas tanah sawit, jadi kita perlu pastikan segala kebersihan tanah dan bina padang bersesuaian, jika tidak dapat buat sekali gus kita akan buat secara berperingkat.

“Jadi orang Asahan, Nyalas nak datang beriadah bersama keluarga boleh ke Mantai Park, daripada segi permohonan tanah sudah tiada masalah, kita dah bawa permohonan ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya.

4
SENTIASA cakna dengan kebajikan penduduk di Asahan.

Tambah Fairul Nizam, dengan adanya balapan di kawasan rekreasi itu, atlet-atlet Melaka yang ingin berlatih acara balapan boleh datang ke Mantai Park tersebut.

“Selain menjadi tarikan baharu penduduk DUN Asahan, atlet kita juga boleh menggunakan kawasan itu sebagai latihan balapan atau acara balapan yang akan diadakan,” katanya.

BIODATA:

Nama: Fairul Nizam Roslan
Umur: 44

Karier:
– Ahli Dewan Undangan Negeri Asahan (2021-kini)
– Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Bekal Sdn Bhd (2020)
– Penolong Pegawai Persekitaran Majlis Perbandaran Alor Gajah (2005-2020)
– Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah (2000-2005)

Politik:-
– Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka (2018-kini)
– Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah (2018-kini)

Pendidikan:-
– Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Open University Malaysia (2017)
– Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Open University Malaysia (2015)

INFO DUN ASAHAN:

Jumlah pengundi:-
– Melayu: 13,100
– Cina: 4,400
– India: 2,468

Kampung: 20
Taman perumahan: 14

Rumah Ibadat:-
– Masjid: 8
– Surau: 28
– Tokong: 8
– Kuil: 6

Sekolah:-
– Sekolah Kebangsaan: 10
– Sekolah Menengah: 4
– Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina): 5
– Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil): 2
– Sekolah Rendah Agama JAIM: 9

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3235
Kongsi :
Previous post Ujian DNA sah identiti mangsa penipuan kerja di Mae Sot sebagai Zhen Feng
Next post Hari Malaysia: Pemilihan Melaka imbau peristiwa bersejarah negara
Ubah saiz-+=