Menteri perlu umum kad laporan pencapaian aspirasi kepada rakyat- Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR 30 Sept – Ahli Jemaah Menteri diarah mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari masing-masing kepada rakyat bagi penilaian prestasi mereka dan kementerian yang diterajui demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi itu sebagai keutamaan tertinggi bagi setiap menteri dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Menurut perdana menteri, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 September lalu menetapkan tempoh 100 hari pertama setiap menteri di bawah pentadbirannya bermula dari 1 September, iaitu pada hari pertama Mesyuarat Jemaah Menteri diadakan.

“Pada 24 dan 29 September saya telah mengadakan sesi bersama kesemua 31 Ahli Jemaah Menteri untuk memuktamadkan senarai aspirasi yang telah dicadangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan semua inisiatif bagi setiap aspirasi adalah berlandaskan enam teras utama iaitu menstruktur semula ekonomi; menjamin keselamatan dan ketenteraman negara; meningkatkan kesejahteraan sosial.

Turut menjadi teras adalah meningkatkan infrastruktur menyeluruh; memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia serta memperkasa penyampaian perkhidmatan.

Ismail Sabri berkata, Pejabat Ketua Setiausaha Negara; Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) bertindak sebagai penyelaras bersama.

Katanya, ia bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan serta penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia oleh menteri Kabinet dijayakan dengan cemerlang.

Perdana menteri berkata, prestasi setiap menteri kabinet dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu Penilaian Prestasi Kementerian/Jabatan; Penilaian Kepimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif serta Penilaian Persepsi Awam terhadap Ahli Jemaah Menteri dan Kementerian/Jabatan di bawah tanggungjawab mereka.

Ketika mengumumkan pelantikan senarai Kabinet dan anggota pentadbiran yang dianggotai 31 Menteri dan 38 menteri pada 27 Ogos lepas, Ismail Sabri menetapkan setiap menteri perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama perkhidmatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

585
Kongsi :
Previous post Peruntukan RM3.5 bilion bangunkan semula Melaka Sentral
Next post MALBATT 850-9: Kali pertama dalam sejarah ATM disertai ramai anggota wanita
Ubah saiz-+=