Sorting by

×

MFS TECHNOLOGY TAMBAH KELUASAN KILANG, PERKUKUH OPERASI DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PENGKALAN BATU 29 Oktober – Didorong peningkatan permintaan global syarikat pengeluar produk elektronik antarabangsa MFS Technology (M) Sdn Bhd kini dalam fasa untuk mengembangkan lagi operasi di Melaka menerusi pelaburan baharu berjumlah RM169 juta.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, MFS Technology beroperasi di Zon Perindustrian Bebas Fasa III, Batu Berendam, menghasilkan komponen bertaraf antarabangsa bagi keperluan sektor automotif dan penjagaan kesihatan.

Katanya, pelaburan baharu itu membolehkan MFS Technology memenuhi permintaan daripada pelanggan global dan memperkukuh daya saing seterusnya menyokong pembangunan ekonomi Melaka.

“Keluasan kemudahan sedia ada akan ditambah 20,000 meter persegi lagi dan pembinaan dijangka siap pada 2027 atau selewat-lewatnya 2028, kita berharap semuanya berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

“Kerajaan Negeri Melaka juga mengucapkan terima kasih atas komitmen MFS Technology untuk mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran di kemudahannya di Batu Berendam. Secara tidak langsung mencerminkan potensi Melaka sebagai negeri pilihan pelabur,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Syarikat MFS Technology (M) Sdn Bhd yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MFS Technology, Datuk Tan Bian Ee, di Zon Perindustrian Bebas Fasa III, Batu Berendam, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin; Pengarah MFS Technology Datuk Faridah Md Noordin dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Melaka, H Jaibalan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

724
Kongsi :
Previous post KARYA SEJARAH ‘BARA SENGKETA’ BAWA TUAH KEPADA MOHD KASIM
Next post MPHTJ DINOBATKAN BANDAR PALING MAMPAN