MIC Melaka serah keputusan calon kepada presiden – Mahadevan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 12 Okt – MIC Melaka menyerahkan sebarang keputusan berhubung persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk penentuan kawasan yang akan ditandingi dan calon kepada kepimpinan tertinggi parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan MIC negeri, Datuk Wira MS Mahadevan berkata, bagi menghadapi PRN beliau sudah mengarahkan ketua bahagian parti itu untuk bersedia bersama jawatankuasa pilihan raya parti untuk mengenal pasti pengundi.

Katanya, ketetapan kawasan yang dijangka ditandingi MIC akan diserahkan kepada keputusan Presiden MIC selepas perbincangan dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

“Tentang kawasan yang akan ditandingi atau calon kita serahkan kepada keputusan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan barisan kepimpinan tertinggi BN.

“Di peringkat atasan mungkin ada perbincangan tetapi kita serahkan keseluruhan dan keputusan itu kepada kepimpinan tertinggi.

“Sebagai Pengerusi MIC negeri, saya ikut sahaja apa jua keputusan dibuat pihak atasan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemilihan calon parti itu bagaimanapun belum dibincangkan berikutan perkara itu masih menunggu keputusan presiden parti.

“Calon belum dibincangkan, meskipun sekurang-kurangnya tujuh (calon MIC) berminat namun apa jua keputusan terakhir nama yang akan bertanding akan diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Dalam pada itu, Mahadevan berkata, parti itu menerima apa jua keputusan ditetapkan sama ada kerajaan menetapkan PRN diadakan mahupun mengisytiharkan darurat.

“Sama ada kerajaan menetapkan PRN atau darurat, kita akur dan akan sama-sama mengikut perkembangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1364
Kongsi :
Previous post Jawatankuasa khas lantik pakar patalogi kanan bantu siasatan kes kematian Muhammad Adib
Next post Kerjasama UMNO-PN diputus Khamis ini – Ab Rauf
Ubah saiz-+=