
MINI KARNIVAL USAHAWAN DESA @ FESTIVAL D’BENDANG PERKASA EKONOMI TEMPATAN
SUNGAI RAMBAI 21 Disember – Penganjuran Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2025 mengangkat martabat usahawan desa sebagai teras kekuatan ekonomi tempatan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, karnival yang berlangsung di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu, Sungai Rambai itu menjadi wadah terbaik untuk memperkenalkan dan mempromosikan kekayaan produk tempatan kepada pengunjung dari dalam serta luar negeri.
“Karnival ini bukan sekadar acara bersifat sementara, sebaliknya berperanan sebagai pemangkin ekonomi desa yang membuka ruang selain peluang seluas-luasnya kepada usahawan kecil dan sederhana, petani, pengusaha makanan tradisional serta pengusaha inap desa.
“Melalui platform jualan, pameran produk dan promosi yang terancang, kita mampu menggerakkan ekosistem ekonomi Sungai Rambai secara lebih sistematik, tersusun dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2025 di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW, Datuk Abdul Kohar Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abd Azis, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Menurut Ketua Menteri, Sungai Rambai mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara lebih strategik sekali gus membina jenama tersendiri dalam peta pelancongan Melaka berteraskan agro-pelancongan, budaya bendang, program komuniti serta sokongan berterusan kepada usahawan desa.
Tambahnya, potensi agro-pelancongan berasaskan bendang akan terus diperkasakan melalui sokongan dasar, peruntukan strategik dan penyelarasan bersepadu antara agensi berkaitan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


