Sorting by

×

MINYAK WANGI DAUN PANDAN HARUMKAN NAMA SK NYALAS

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TABOH NANING 26 September – Pembentangan mengenai inovasi pembikinan minyak wangi dari ekstrak daun pandan membawa tuah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalas.

Ia selepas sekolah dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan itu dinobat sebagai pemenang Anugerah Khas Pembentang Terbaik Sekolah Rendah Kategori Lelaki pada Hari Inovasi Negeri Melaka 2025 yang diadakan di Dewan Lestari, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MICET, di sini, semalam.

Pembentangnya, Ahmad Muzaffar Harith Abdul Kadir, 12, berkata idea guru menjadi pencetus kumpulannya untuk menginovasikan penggunaan tumbuhan daun pandan menjadi pelbagai jenis wangian.

Jelasnya, kumpulannya menggunakan 10 langkah dalam metodologi penghasilan pewangi yang diberi nama ‘Scentura Pandan’.

“Kami menggunakan dua jenis daun pandan untuk mengambil ekstrak tumbuhan pelbagai fungsi itu, iaitu daun pandan kampung dan daun pandan hybrid.

“Ini kerana daun pandan ini sendiri berfungsi sebagai anti bakteria dan anti kulat semulajadi serta diguna pakai menjadi aromaterapi ringan, menenangkan dan menghilangkan stress.

“10 langkah yang digunakan untuk menghasilkan ‘Scentura Pandan’ ini pula membabitkan pembersihan, meracik, menyagat, mengisar, penyaringan, pembotolan, penurasan, pemanasan dan prototaip,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Muzaffar Harith berkata, pembentangannya kepada panel juri yang begitu teratur, rapi dan mampu menjawab setiap persoalan berkemungkinan menjadi faktor dia dipilih menerima anugerah tersebut.

Tambahnya, kejayaan itu sedikit sebanyak menjadi pembakar semangat untuknya bersama rakan-rakan menyertai lebih banyak pertandingan pada masa akan datang.

“Pelbagai ilmu baharu saya perolehi menerusi pertandingan ini, dibantu guru, ia mengajar saya untuk menjadi lebih kreatif selain membuatkan kita mahir dalam subjek Sains,” katanya.

Terdahulu, Majlis Penutup Hari Inovasi Negeri Melaka 2025 telah dirasmikan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Sebanyak 24 pemenang dipilih secara keseluruhan bagi sembilan bidang inovasi yang dipertandingkan iaitu meliputi teknologi alam sekitar; makanan dan pengurusan bencana; pembuatan; automotif; elektrik dan elektronik; teknologi digital; peranti perubatan dan inovasi sains sosial.

Ia membabitkan sebanyak 145 kumpulan dengan 395 peserta dalam kalangan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

463
Kongsi :
Previous post KUM, NKS DEVELOPMENT METERAI MOU PERKASA PEMBANGUNAN UTILITI TERANCANG
Next post PAKEJ EKSKLUSIF, TAWARAN ISTIMEWA DI VISIT MALAYSIA TRAVEL MEET 2025 MITC