Sorting by

×

Misi Everest: Pendaki Keluarga Malaysia mampu eratkan hubungan diplomasi

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PUTRAJAYA, 23 Mac – Pasukan pendaki Keluarga Malaysia yang membawa Misi Malaysia Everest 2022, adalah duta yang bukan sahaja bakal mengharumkan nama negara, bahkan merapatkan hubungan diplomasi antara negara, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata aktiviti pendakian seperti juga sukan lain, yang dianggap sebagai diplomasi awam kerana ia memainkan peranan membawa imej Malaysia.

“Negara sudah ada 19 orang sampai ke puncak Everest, insya-Allah 10 lagi akan sampai ke sana,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat pasukan pendaki berkenaan di Wisma Putra di sini, hari ini.

Membawa semangat Keluarga Malaysia, 10 pendaki negara termasuk seorang orang kurang upaya (OKU), dalam misi menawan Gunung Everest bermula 15 April ini.

Selain Muhammad Hawari Hashim, 31, yang merupakan OKU pendengaran, pasukan itu turut diwakili bekas pesilat negara Rina Jordana Adnan, 42, serta tiga wakil Komando VAT 69 iaitu Kanang Anak Usin, 42, Pragash Murusgesu, 32, dan Mohammad Hanif Che Ahmad, 28.

Pendaki Keluarga Malaysia lain ialah Azim Afif Ishak, 33; Ayu Wanirah Naharuddin, 29; Ahmad Murshid Maktar, 35; Jack Oh Jin Heng, 37; dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 54.

Misi pasukan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang melihat semangat cekal mereka mampu menjadi inspirasi kepada seluruh Keluarga Malaysia dalam mendepani sebarang cabaran.

“Saya doa semoga berjaya buat kalian yang bakal memulakan misi 15 April ini. Kalian hero Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri dalam hantaran di laman sosial Facebooknya.

Sementara itu, Saifuddin berkata Kementerian Luar akan memberi sokongan kepada pasukan tersebut dari segi laluan diplomatik serta logistik, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu bagi melancarkan misi pendakian itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1100
Kongsi :
Previous post P.Pinang benarkan solat rapatkan saf bermula 1 April
Next post Kes mayat wanita dalam gaung, tiga individu direman
Ubah saiz-+=