Mohd Ali dimasyhur sebagai Canselor UTeM ketiga

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

MELAKA 6 Mac. – Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang ketiga.

Pelantikan Mohd Ali, 72, sebagai Canselor UTeM berkuat kuasa selama empat tahun mulai 15 Ogos 2020 hingga 3 Jun 2024, telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah.

NORAINI menyerahkan watikah pelantikan Canselor UTeM kepada Mohd Ali pada upacara pemasyhuran yang berlangsung di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ayer Keroh.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mewakili Seri Paduka Baginda menyerahkan watikah pelantikan pada upacara pemasyhuran yang berlangsung di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Mohd Ali menggantikan Canselor terdahulu yang juga bekas Yang di-pertua Negeri Melaka keenam Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Turut hadir pada upacara pemasyhuran itu ialah isteri Mohd Ali, Toh Puan Asmah Abdul Rahman; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Pro-Canselor UTeM iaitu Tan Sri Halim Saad dan Datuk Dr Sabirin Ja’afar.

Mohd Ali dalam ucapannya berkata UTeM merupakan universiti teknikal pertama yang diwujudkan di Malaysia pada 1 Dis 2000 untuk memartabatkan ilmu melalui pendidikan, penyelidikan dan kesarjanaan teknikal yang inovatif dan kreatif.

MOHD ALI berucap pada upacara pemasyhuran sebagai Canselor UTeM ketiga yang berlangsung di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ayer Keroh.

Justeru, katanya institusi itu perlu berada dalam arus perdana pendidikan tinggi negara sebagai daya penggerak utama membentuk hala tuju baharu masyarakat Malaysia ke arah transformasi ekonomi dan sosial khususnya dalam era ledakan Industri 4.0 dan ekonomi digital.

“Saya juga melihat UTeM sentiasa komited membantu negara dan negeri Melaka dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi berpacukan industri.

“Pelaksanaan peta strategi pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dijangka mampu menghasilkan siswazah yang seimbang, holistik dan berciri keusahawanan untuk membangunkan negeri dan negara amnya,” katanya.

Mohd Ali berkata dalam konteks arus perdana pembangunan negara pula, UTeM dilibatkan oleh pembuat dasar di semua peringkat dalam merencana hala tuju strategik negara, terutama yang melibatkan bidang kejuruteraan, teknologi serta TVET.

“Kerjasama pintar dan jaringan bersama kesemua pemegang taruh seperti industri, kerajaan Persekutuan dan negeri serta komuniti perlu terus dipertingkatkan lantas mampu merealisasikan agenda global iaitu matlamat pembangunan kelestarian pada 2030.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1677
Kongsi :
Previous post Ahli Parlimen UMNO, BN diminta sokong PN sehingga Parlimen bubar
Next post Kementerian cadang kursus pasca perkahwinan untuk suami isteri
Ubah saiz-+=