Mohon KKM pertimbang semula SOP kontak rapat COVID-19 – Dr Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

MELAKA 19 Feb – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diharap dapat mempertimbangkan semula prosedur operasi standard (SOP) kuarantin bagi petugas kesihatan yang menjadi kontak rapat COVID-19.

EXCO Kesihatan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pertimbangan semula perlu diberikan kepada petugas kesihatan yang mempunyai anak kecil yang positif COVID-19, namun terpaksa bekerja berikutan perubahan SOP kontak rapat yang diumumkan, baru-baru ini.

Mengikut perubahan SOP itu, sekiranya seseorang itu kontak rapat tidak bergejala boleh dibenarkan terus bekerja dan hanya perlu menjalani ujian saringan pada hari kelima atau hari ketujuh.

Manakala, bagi kontak rapat bergejala namun negatif COVID-19 perlu menjalani kuarantin sehingga tiga hari dan sekiranya negatif selepas tempoh itu boleh dibenarkan bekerja dengan syarat perlu menjalani saringan setiap hari.

Menurut Muhamad Akmal, perubahan itu bagaimanapun akan memberi kesusahan kepada pekerja khususnya petugas kesihatan yang mempunyai anak kecil positif COVID-19 dan terpaksa menggunakan cuti tahunan tujuh hinga 10 hari bagi tujuan menjaga anak di rumah.

Justeru, katanya, tidak adil sekiranya mereka terpaksa menggunakan cuti tahunan bagi tujuan tersebut.

“Sehubungan itu, saya mohon pihak KKM untuk memasukkan COVID-19 positif dalam senarai penyakit berjangkit yang melayakkan mereka mengambil cuti tanpa rekod selama lima hari.

“Jika isteri (diberikan) lima hari pertama dan suami lima hari berikutnya, maka mereka ini mampu untuk menjaga anak-anak mereka yang perlu dikuarantin selama 10 hari dengan senang hati jika diminta kembali bekerja selepas itu.

“Saya menyambut baik cadangan perubahan SOP itu kerana ini adalah langkah yang baik ke arah memasuki fasa endemik tetapi saya mohon agar KKM untuk mempertimbangkan semula dan boleh mengubah sedikit SOP yang telah dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu sekurang-kurangnya dapat memberikan kelegaan kepada petugas barisan hadapan yang sudah lama berkorban untuk menjaga kesihatan awam rakyat.

Khamis lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin mengumumkan petugas kesihatan yang menjadi kontak rapat pesakit COVID-19 tanpa gejala tidak perlu menjalani kuarantin dan mereka perlu menjalani ujian saringan pada hari tertentu.

Khairy berkata, pekeliling mengenai SOP baharu itu telah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah pada 11 Feb lalu.

Beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan protokol sama kepada petugas kesihatan sektor swasta dan orang ramai sekiranya ia berjaya dilaksanakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1173
Kongsi :
Previous post COVID-19: 27,808 kes baharu semalam – KP Kesihatan
Next post Tahanan positif COVID-19 meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi – Bukit Aman
Ubah saiz-+=