MOTOSIKAL, BARANGAN ELEKTRIK MENANTI PENGUNJUNG BERTUAH PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA 2024
TANJUNG BIDARA 12 September – Bukan sahaja menikmati kemeriahan suasana, orang ramai singgah ke Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah disediakan.
Penyelaras Program, Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, peluang itu bukan sahaja terbuka kepada peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti diatur, sebaliknya terbuka kepada pengunjung yang hadir.
Abdul Hakim yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata pada program tiga hari bermula 13 hingga 15 September, turut diadakan cabutan pengunjung bertuah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Antara hadiah cabutan bertuah nanti adalah motosikal dan pelbagai jenis barangan elektrik. Cabutan akan dilakukan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada hari perasmian pesta iaitu 15 September kira-kira jam 11 pagi.
“Selain itu, pada hari Ahad itu juga, Ketua Menteri akan berada di Pantai Tanjung Bidara seawal jam 7.20 pagi bagi pelepasan acara Fun Walk; Fun Ride dan Fun Run.
“Jadi kita harap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyertai pelbagai program dan acara serta persembahan menarik yang akan disajikan sepanjang Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 ini berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Akhir Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 di Japerun Tanjung Bidara, semalam.
Tambah Abdul Hakim, pihaknya masih menerima tajaan daripada pelbagai pihak dan berikutan itu jumlah keseluruhan hadiah masih belum dapat dimuktamadkan lagi.
“Kita harapkan akan ada pertambahan lagi (hadiah) untuk diberikan kepada pengunjung bertuah. Memandangkan musim cuti sekolah sudah bermula, kita juga harapkan ibu bapa boleh bawa anak-anak dan jadikan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 sebagai destinasi bercuti,”katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.