MoU RM2b bakal rancakkan industri maritim di Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 14 April – Pemeteraian Memorandun Persefahaman (MoU) antara Leaptec Engineering Sdn. Bhd. (Leaptec) dengan syarikat perkapalan berpangkalan di Turkiye, Desan Deniz Ins. San. A.S (Desan) bakal mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jika direalisasikan, Melaka bakal membangunkan sebuah limbungan perkapalan (shipyard) bertaraf dunia yang bakal membuka peluang pekerjaan baik kepada pekerja tidak mahir, pekerja mahir serta pekerja berkemahiran tinggi.

Ab Rauf berkata, tenaga kerja amat penting bagi memastikan aktiviti membina dan membaiki kapal di limbungan berkenaan berjalan lancar.

“Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan terhadap cadangan ini, untuk menjadikan Melaka sebagai satu pusat industri maritim dunia di tengah kesibukan Selat Melaka.

“Setiap tahun dianggarkan 90,000 kapal menggunakan Selat Melaka dan dengan terbinanya limbungan ini sudah pasti akan memberikan impak ekonomi yang terbaik kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Iftar Santai YAB Ketua Menteri Melaka di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalannya Datuk Zaidi Attan; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, MoU bernilai lebih RM2 bilion itu akan merancakkan lagi aktiviti industri maritim di kawasan Pelabuhan Tanjung Bruas.

“MoU yang dimeterai itu perlu direalisasikan dalam tempoh setahun untuk menjadikan perjanjian itu sebagai ada nilainya,” katanya.

Pada 13 April lalu, Ab Rauf dalam rangka lawatannya ke Turkiye menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Leaptec, syarikat subsidiari LBS Bina Group Berhad dengan Denis di ibu pejabat Denis di Istabul.

MoU itu ditandatangani Pengarah Urusan LBS dan Leaptec, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan manakala Desan diwakili Pengerusinya, Cenk Ismail Kaptanoglu.

Hadir sama menyaksikan MoU itu ialah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Anis Hisham Abd Aziz dan Pengarah Desan, Adil Bahadir Demirag.

Untuk rekod, Desan yang ditubuhkan pada tahun 1970 merupakan salah satu penyedia penyelesaian limbungan kapal Turkiye yang terkenal iaitu terlibat dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan limbungan, penyelenggaraan dan pembaikan kapal, pembinaan kapal dan aktiviti berkaitan perkapalan.

Antara rakan kongsi perniagaannya ialah Shell, Glencore, Trafigura, Cargill, Vitol dan Teekay.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2366
Kongsi :
Previous post Lelaki mengaku salah terhadap 32 tuduhan rogol, amang seksual anak tiri
Next post Dataran Bandaraya jadi destinasi berbuka puasa Melaka – KM
Ubah saiz-+=