MOVAK agih 38,754 suntikan vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA SUNGAI BARU 17 Julai – Sebanyak 38,754 suntikan vaksin berjaya diagihkan menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) sejak pelancarannya Jun lalu.

Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, Melaka antara negeri terawal selepas Johor dan akan disasarkan berperingkat seluruh negara.

Usaha itu katanya sekali gus mampu menyumbang kepada penambahan jumlah penerima vaksin khususnya buat penduduk di pinggir bandar.

“Menerusi program MOVAK selain pendekatan ‘outreach’  yang menggunakan khidmat sukarelawan kita turut menggerakkan 25 buah bas bagi  menerima suntikan vaksin bergerak.

“Setakat ini seramai 2,991 telah menerima suntikan menerusi bas yang disediakan dalam program ini,” katanya.

MENTERI Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique . Foto MR Azli

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerjanya pada  Program Outreach dan Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Kompleks Japerun Kuala Linggi, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi Datuk Wira Ar Ismail Othman dan kenamaan serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, Halimah berkata, MOVAK akan terus menumpukan kawasan luar bandar khususnya di ladang bagi memastikan kelancaran memperluaskan agihan vaksin mampu dicapai membabitkan penyertaan sukarelawan komuniti Rukun Tetangga dan Penggerak Komuniti Negara.

Tambahnya, MOVAK dijalankan menerusi kerjasama strategik kementeriannya bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mencapai imuniti kelompok dalam sesebuah komuniti.

“Sasaran akan tertumpu di kawasan yang mempunyai kadar suntikan vaksin yang rendah dan kawasan jangkitan COVID-19 yang tinggi bagi menjalankan program seperti ini.

“Malah dalam sasaran seluruh negara, kementerian turut akan memfokuskan sebanyak 500,000 penjaja dan peniaga kecil khususnya di kawasan bandar untuk diberikan suntikan vaksin dengan kadar segera,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post RM10,000 untuk pekerja terjejas
Next post COVID-19: Balai Polis Kuala Sungai Baru ditutup
Ubah saiz-+=