
MPAG GALAK PENIAGA AMAL INISIATIF TANPA TUNAI
ALOR GAJAH 29 Mei – Usaha memperluas penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan peniaga dan penjaja kecil terus dipergiat bagi memperkasa agenda pendigitalan di peringkat tempatan.
Inisiatif ini dilaksanakan menerusi Taklimat Pembayaran Tanpa Tunai ‘Cashless’ Kepada Peniaga dan Penjaja Kecil Tahun 2025 anjuran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), semalam.
Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, taklimat itu bagi memberi pendedahan kepada peniaga kecil serta masyarakat mengenai manfaat penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai.
“Penduduk dan peniaga dalam kawasan pentadbiran MPAG dapat memanfaatkan sepenuhnya penggunaan pembayaran digital.
“Dalam dunia yang semakin canggih ini, transaksi tanpa tunai bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan taklimat berkenaan yang dibacakan Ketua WHIP MPAG, Clr. Ghafar Ngah di Dewan Bougainvilla MPAG.
Tambah TPr. Saifuddin, aspek keselamatan siber dan literasi digital juga tidak harus dipandang ringan, terutama dalam kalangan peniaga kecil dan sederhana yang kini beralih kepada platform digital untuk urusan perniagaan.
“Di sebalik kemudahan perbankan atas talian dan pelbagai perkhidmatan digital tersedia, pengguna perlu lebih peka terhadap tahap keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan risiko siber yang wujud.
“Pendidikan dan kesedaran tentang keselamatan digital perlu dipertingkatkan selari dengan perkembangan teknologi,” katanya.
Katanya, kerjasama strategik antara Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan inisiatif ini mampu menyokong matlamat Melaka memperluas penggunaan transaksi tanpa tunai di semua peringkat.
“Inisiatif ini bukan sahaja sejajar dengan aspirasi pendigitalan negeri, malah dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi digital secara menyeluruh.
“Penggunaan kaedah pembayaran digital bukan lagi sekadar trend, tetapi satu keperluan yang akan terus berkembang.
“Kita mesti bersedia menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran dan keperluan pengguna masa kini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.