
SELARAS PENEMPATAN PENIAGA DI PANTAI PUTERI
SUNGAI UDANG 29 Mei – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mewujudkan penempatan peniaga yang lebih tersusun dan diselaraskan di Pantai Puteri.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, perkara itu menjadi antara keutamaan di mana, satu tapak khas akan dibina bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan selamat, bukan sahaja untuk peniaga, bahkan pengunjung.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, perkara itu akan dibuat selepas selesai projek tambakan bagi menangani hakisan yang sedang dijalankan di pantai peranginan itu.
“Dianggarkan 20 ke 25 peniaga terjejas akibat hakisan pantai di Pantai Puteri, saya telah minta pihak Japerun Pantai Kundor untuk menguruskan mereka seperti diletakkan di satu tempat, sementara isu hakisan diselesaikan.
“Selepas selesai isu hakisan ini MBMB akan mencarikan satuk tapak untuk dibina infrastruktur buat penjaja ini meniaga dengan lebih selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan lesen penjaja kepada penjaja sekitar di Taman Terendak Permai, di sini, semalam.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata, penempatan berpusat itu dibuat bukan untuk menghalang atau menutup periuk nasi peniaga di pantai peranginan tersebut.
“Kita di peringkat MBMB mahu menyelaraskan semula kawasan perniagaan dan masa sama mahu menyelesaikan isu hakisan.
“Kita tidak mahu ada masalah timbul dalam kalangan peniaga, penduduk dan pengguna jalan raya yang lain pada masa akan datang, sebab itulah satu tindakan perlu diambil,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.