MPAG sedia 12 tong kitar semula sisa fabrik

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

ALOR GAJAH 13 Jan. – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan menyediakan 12 tong kitar semula sisa fabrik di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) dan masjid di bandar ini dan Masjid Tanah.

Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan berkata, ia dijangka mampu mengutip 3,000 kg sisa fabrik seperti pakaian, tuala, selimut, kasut, beg, topi, tali pinggang dan kain buruk sebulan.

“MPAG berharap anggota komuniti memberikan kerjasama bagi membantu pengurusan sisa fabrik secara lebih sistematik,” katanya pada program Kitar Semula Sisa Fabrik Peringkat Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di Dataran Keris, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairuladha Abdul Mutalib.

SEBAHAGIAN daripada 5,510 kilogram sisa fabrik dikumpulkan di Dataran Keris, Alor Gajah. / FOTO Din Ahmad

Program anjuran bersama SWCorp dengan MPAG itu turut dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kloth Cares , Life Line Clothing Malaysia (LLCM) dan Selangor Youth Community (SAY) dengan menyediakan peluang kepada orang ramai menghantar sisa fabrik secara pandu lalu kepada penganjur.

Sebanyak 5,510 kilogram (kg) sisa fabrik dikumpulkan pada program berkenaan hasil sumbangan anggota komuniti sekitar bandar ini dan Masjid Tanah yang prihatin terhadap usaha kerajaan memelihara alam sekitar, terutama dari aspek pelupusan sampah secara teratur dan konsisten.

Sementara itu, Khairuladha berkata, berdasarkan kajian komposisi 2020 yang dijalankan agensi itu, sebanyak 30.4 tan sisa fabrik sehari dikumpulkan di di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang, Tanjung Kling.

“Program ini bertujuan menyediakan kemudahan kepada anggota komuniti untuk menguruskan sisa fabrik secara lebih sistematik bagi membantu kerajaan mengurangkan 3.2 peratus sisa fabrik setahun.

“Jika sisa fabrik diuruskan dengan baik, jangka hayat tapak pelupusan sampah boleh dipanjangkan bagi menampung peningkatan sisa pepejal yang semakin meningkat setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, ia juga bertujuan melaksanakan Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 dan Capaian Pembangunan Kekal (SDG).

Sehubungan itu, SWCorp akan meningkatkan kerjasama dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi memastikan pengurusan sampah secara sempurna pada masa depan.

Views:

2594
Kongsi :
Previous post Lima kompaun dikeluarkan hari pertama PKP
Next post Lokasi pelancongan popular kembali ‘sepi’
Ubah saiz-+=