
‘MPHTJ CHARITY OUTLET’ MERIAHKAN WRUR DUN BEMBAN
JASIN 23 Jun – ‘MPHTJ Charity Outlet’ iaitu inisitif meringankan beban golongan kurang berkemampuan menerusi agihan pakaian terpakai dilaksanakan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), memeriahkan hari pertama Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, program sehari itu dilaksanakan bersempena penganjuran WRUR edisi kelima di DUN Bemban bermula semalam (22 Jun) hingga 7 Julai depan.
Katanya, pemberian pakaian percuma itu menerima sambutan amat menggalakkan daripada 86 orang penerima dalam kalangan ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga kurang berkemampuan sekitar DUN Bemban.
“Agihan baju percuma ini merupakan hasil sumbangan orang ramai menerusi MPHTJ Charity Outlet, iaitu salah satu komponen dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami laksanakan.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban penerima, tetapi turut menjadi platform memupuk nilai kasih sayang, keprihatinan dan kerjasama antara MPHTJ dengan pelbagai agensi,” katanya ketika ditemui pada penganjuran program itu di Taman Rekreasi Kesang Damai di Taman Kesang Damai, di sini, semalam.
Menurut beliau, pelbagai sumbangan dikumpulkan hasil kerjasama strategik dengan pelbagai pihak sebelum diagihkan kepada golongan sasar.
“Sekiranya ada ruang dan peluang, pemberian seperti ini akan diteruskan lagi dalam siri WRUR melibatkan DUN dalam kawasan MPHTJ yang akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.