MPHTJ mampu capai PBT lestari pertama di Melaka – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 18 Oktober – Keberkesanan dalam perkhidmatan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mampu menjadikan agensi itu sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang mencapai status lestari di Negeri Melaka.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata MPHTJ terus melangkah kehadapan dengan menjadi PBT yang menggunakan kaedah pendigitalan berbanding konvensional sebelum ini.

“Tahniah dan syabas kepada MPHTJ menjadi bandar berdaya huni keempat tertinggi dalam 10 bandar berdaya huni tertinggi dalam negara.

“Saya meletakkan sasaran bersesuaian dengan hasrat Kerajaan Negeri iaitu menjadi sebuah majlis perbandaran pertama mencapai status lestari menjelang 2035.

“Dengan kaedah pendigitalan dilaksanakan MPHTJ, segala aduan mengenai permasalahan rakyat dapat diselesaikan dengan segera demi menjaga kepuasan rakyat di kawasan pentadbiran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ bagi Bulan Oktober 2022 di Ruang Parkir MPHTJ di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata setakat ini MPHTJ menunjukkan pencapaian yang baik dalam menyelesaikan aduan rakyat.

“MPHTJ perlu sentiasa memberi respon kepada aduan rakyat, ia mesti diperkemas dan dipercepatkan untuk mencapai status lestari.

“Kualiti perkhidmatan MPHTJ berada pada tinggi, jadi kekalkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan ini, rakyat pastinya percaya bahawa MPHTJ berada pada landasan betul untuk membawa terus melangkah ke hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2036
Kongsi :
Previous post Silibus pembelajaran tidak boleh ditukar secara kerap – Radzi
Next post Sujud syukur, penantian lapan tahun tertunai
Ubah saiz-+=