
MPHTJ, MPHS ‘KONGSI ILMU’, PERKUKUH KERJASAMA
AYER KEROH 15 Jun – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi memperkukuh kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT).
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, ia dilaksanakan menerusi Program Perkongsian Ilmu yang memberi peluang kepada delegasi menimba ilmu dan pengalaman baharu dalam aspek pengurusan projek pembangunan.
“Lawatan ini memberi fokus kepada kaedah pelaksanaan projek yang lebih efisien dan berimpak tinggi. Ia juga menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan antara PBT.
“Delegasi MPHTJ diberikan pendedahan secara langsung terhadap pengurusan projek sebenar serta pendekatan yang diguna pakai MPHS dalam memastikan kelestarian pembangunan,” katanya.
Ujar Sapiah, MPHS juga menyatakan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, selain terbuka dalam berkongsi pengalaman bersama PBT lain.
“Diharap segala ilmu diperoleh sepanjang lawatan dimanfaatkan untuk menambah baik sistem tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan MPHTJ demi kesejahteraan penduduk Hang Tuah Jaya,” katanya.
Terdahulu delegasi MPHTJ disambut mesra oleh Pengarah Jabatan Bangunan MPHS, Md Rizal Mohd Sofian @ Abd Karim bersama barisan pegawai kanan jabatan MPHS.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.