
MPHTJ SASAR ANUGERAH BANDAR PALING MAMPAN 2026
BANDA HILIR 27 Disember – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) berhasrat untuk menjadi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik dalam negara tahun 2026 yang meraih pengiktirafan Bandar Paling Mampan.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, anugerah tersebut merupakan antara pengiktirafan tertinggi untuk PBT seluruh negara memandangkan ia merangkumi semua kategori termasuk Bandar Paling Bahagia.
“Kita akan cuba mempertaruhkan MPHTJ dalam pelbagai kategori anugerah sepanjang 2026 kerana ia menjadi satu penanda aras untuk kita menjadi antara PBT terbaik dalam negara.
“Kita akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan diharap usaha yang kita lakukan melayakkan MPHTJ mendapat pengiktirafan Bandar Paling Mampan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi MPHTJ 2025 di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Dalam pada itu, Sapiah memaklumkan, antara perancangan akan datang yang sedang diusahakan pihaknya adalah merealisasikan bangunan baharu MPHTJ.
Jelas beliau, pihaknya telah mengenal pasti beberapa tanah yang sesuai bagi pembinaan bangunan MPHTJ, antaranya di kawasan Ayer Keroh.
“Beberapa kawasan telah dikenal pasti, namun kita akan memilih lokasi yang paling hampir dan akan memudahkan masyarakat. Insya-Allah kita akan cuba merealisasikan hasrat ini,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


