MPJ FAST pantas kendali kes bencana, kecemasan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

JASIN 24 November – Penubuhan Skuad Bencana Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) (FAST) membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu agensi keselamatan lain dalam mengendalikan kes kecemasan dan bencana.

Yang Dipertua MPJ, Datin Sapiah Haron berkata, skuad itu diwujudkan bertujuan memberi bantuan awalan dan langkah pencegahan terhadap aduan kecemasan, termasuk kes bencana mengikut kawasan.

Katanya, skuad terbabit mempunyai 20 penguatkuasa yang dibahagikan kepada tiga pasukan iaitu pasukan cantasan pokok, pasukan Jasin darat dan pasukan Jasin pantai.

“Sebenarnya, skuad ini telah ditubuhkan sejak tahun lalu, dan kini dijenamakan semula.

“Untuk skuad cantasan pokok, bukan hanya tertumpu kepada mencantas pokok sahaja, sekiranya hujan terlalu lebat, pasukan ini akan keluar dan meronda memastikan tiada pokok-pokok tumbang di taman, kampung dan laluan atau jalan raya.

“Manakala bagi pasukan Jasin darat dan Jasin pantai pula, mereka akan memantau kawasan-kawasan mereka dan sekiranya berlaku bencana, mereka akan membuat pencegahan awal, kerana kesemua ahli skuad membawa peralatan menyelamat bersama mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, skuad FAST itu juga akan berkomunikasi dalam ‘Group WhatsApp’ Bencana MPJ dan memaklumkan apa terjadi dan tindakan yang diambil.

“Jadi pasukan FAST ini akan tiba awal jika berlaku sesuatu bencana, di mana ahli skuad akan berkomunikasi dengan pihak berkuasa seperti bomba atau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kesemua ahli skuad adalah terlatih dan sentiasa bersiap siaga 24 jam untuk mengendalikan kes kecemasan dan bencana seperti banjir, tanah runtuh, ribut, kemalangan dan kebakaran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1954
Kongsi :
Previous post PM Anwar akan galas amanah penuh tawaduk dan tanggungjawab
Next post Semua pihak diminta terima baik proses demokrasi, peralihan kepimpinan
Ubah saiz-+=