Sorting by

×

MPJ TERIMA PENARAFAN BANDAR PINTAR 2025

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

JASIN 28 Oktober – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengukuhkan kedudukannya sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berprestasi tinggi apabila menerima penarafan ‘Smart City Early Adopter 2025’ daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hari ini.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia, Kongres Perancangan Kebangsaan dan MyCity Expo 2025 di Dewan Sri Santan, Putrajaya.

Yang Dipertua MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, ia membuktikan komitmen pihaknya dalam merealisasikan aspirasi ‘Bandar Pintar dan Lestari’ demi kesejahteraan rakyat di daerah Jasin.

“Penarafan bandar pintar ini juga merupakan sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kerajaan Negeri yang menyasarkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini memperoleh status tersebut,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) atas sokongan serta panduan berterusan yang membolehkan MPJ mencapai pengiktirafan berkenaan.

“Terdapat empat kriteria utama yang dinilai bagi penarafan berkenaan, termasuk penyediaan Blueprint atau Pelan Tindakan Bandar Pintar MPJ 2035 yang menjadi dokumen perancangan strategik ke arah pelaksanaan konsep bandar pintar di kawasan pentadbiran MPJ.

“Selain itu, penubuhan Jawatankuasa Bandar Pintar MPJ turut memainkan peranan penting dalam menyelaras pelaksanaan inisiatif agar selaras dengan dasar dan strategi Smart City Malaysia.

“Di samping pembangunan Initial Dashboard atau Mini Command Center bagi memantau data dan kemajuan inisiatif bandar pintar,” katanya.

Katanya, penarafan itu juga menilai pematuhan kepada 10 indikator utama Tahap 1 Smart City Early Adopter berdasarkan piawaian MS ISO 37122:2019.

“Antaranya meliputi Tadbir Urus Pintar, Ekonomi Pintar, Mobiliti Pintar, Persekitaran Pintar, Kehidupan Pintar, Penduduk Pintar, Infrastruktur Digital Pintar, Keselamatan Pintar, Tenaga Pintar dan Komuniti Pintar.

“MPJ akan terus memperkukuh pelaksanaan pelan pembangunan pintar dan mampan, seiring dengan matlamat menjadikan Jasin sebagai daerah yang maju, lestari dan berdaya saing menjelang 2030,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

800
Kongsi :
Previous post MBMB ANTARA EMPAT BANDARAYA CAPAI TAHAP KEDUA BANDAR PINTAR MALAYSIA