
MTD PROPERTIES PERKENAL DUA PROJEK BAHARU DI MELAKA
AYER KEROH 7 Jun – MTD Properties terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemaju hartanah terkemuka di Melaka dengan membangunkan dua projek baharu di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh.
Dua projek itu adalah MTD Nexus 28 Industrial Park dan MTD Elysia Heights dengan menyasarkan keperluan pasaran yang semakin berkembang pesat di kawasan pinggir bandar Melaka.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD, Dr. Nik Fauzan Nik Faizul berkata, MTD Nexus 28 Industrial Park menampilkan 87 unit kilang moden yang dilengkapi sistem pintar bersepadu serta pemasangan sistem Solar Fotovoltaik (Solar PV).
Menurutnya, projek itu direka untuk menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan merupakan peluang pelaburan ideal untuk perusahaan industri berskala kecil dan sederhana.
“Manakala MTD Elysia Heights pula adalah projek perumahan yang menawarkan 197 unit rumah teres setingkat dengan reka bentuk kontemporari yang menekankan elemen keselesaan, gaya dan nilai jangka panjang.
“Lokasinya yang strategik menjadikannya pilihan menarik bagi keluarga yang mencari kediaman moden di kawasan berkembang.
“Kedua-dua projek ini mencerminkan komitmen syarikat untuk terus membangunkan komuniti dan menyediakan produk yang relevan dengan keperluan semasa pasaran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dr. Nik Fauzan memaklumkan, MTD Nexus 28 dan Elysia Heights adalah sebahagian daripada perancangan strategik MTD Properties untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan menyediakan pilihan kediaman berkualiti di Melaka.
Tambahnya, bagi mempromosikan projek berkenaan, pihaknya akan mengadakan majlis perasmian dan pecah tanah MTD Nexus 28 Industrial Park serta pra pelancaran rasmi MTD Elysia Heights di Pejabat Jualan Metacorp Properties, Taman Tasik Utama, pada 14 Jun ini.
“Pejabat jualan baharu ini tampil dengan konsep kontemporari dan menyediakan model skala projek semasa dan akan datang bagi memberikan pengalaman yang lebih imersif kepada pengunjung.
“Majlis ini juga akan menyaksikan perasmian rasmi pejabat jualan tersebut, yang direka bentuk semula bagi memperkukuh interaksi dan komunikasi dengan pelanggan serta pelabur.
“Kami bukan sahaja membangunkan hartanah, tetapi turut membina nilai dan komuniti yang mampan. Kami yakin pelancaran ini akan membuka lebih banyak peluang untuk penduduk dan pelabur di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.