MUDA berkecuali pada PRN Melaka – Syed Saddiq

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

MELAKA 6 Nov – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengambil sikap berkecuali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini, kata Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata keputusan itu diambil berikutan tindakan Pakatan Harapan (PH) mencalonkan kembali dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor).

PRN Melaka terpaksa diadakan apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan selepas Idris dan Nor Azman bersama Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas), menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri ketika itu Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Syed Saddiq berkata rundingan MUDA untuk menyertai PRN Melaka bersama PH bermula sejak dua minggu lepas dan banyak perkara dibincangkan untuk memastikan niat parti itu menyatupadukan pembangkang tercapai.

Menurutnya pendirian PH untuk terus mencalonkan pemimpin politik yang menjadi punca PRN Melaka diadakan menyebabkan parti itu mengambil pendirian untuk tidak bersama dengan PH.

“Kita telah buat pendirian untuk berkecuali dalam pilihan raya ini dan fokus kita adalah kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), serta fokus untuk memantapkan politik khidmat,” katanya pada sidang akhbar secara dalam talian hari ini.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Idris akan bertanding di kerusi Asahan iaitu kerusi tradisi PKR, manakala Nor Azman kekal di Pantai Kundor iaitu kerusi tradisi Parti Amanah Negara (Amanah).

MUDA yang ditubuhkan Syed Saddiq pada 17 Sept tahun lepas belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai parti politik, dan Syed Saddiq pada 27 Okt dilaporkan berkata pihaknya sedang berunding dengan PH bagi meletakkan calon MUDA pada PRN Melaka.

Tarikh mengundi PRN Melaka ditetapkan pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

987
Kongsi :
Previous post Putra bertanding 5 kerusi di PRN Melaka
Next post PRN Melaka: PN ketengah 43 peratus calon 40 tahun ke bawah
Ubah saiz-+=