MUDA umum bertanding PRN Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

BANDA HILIR 27 Okt – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan akan menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan blok pembangkang berhubung agihan kerusi.

Jelasnya, keputusan mengenai agihan kerusi bagaimanapun akan dimuktamadkan dan akan diumumkan oleh blok pembangkang itu dalam masa terdekat.

“MUDA telah buat pendirian tetap untuk bertanding dalam PRN dan kita akan berunding dengan parti pembangkang dan akan mengumumkan perkara ini bersama selepas tempoh rundingan tamat.

“Kita nak letak nama MUDA untuk bertanding dalam semangat membawa perubahan jelas itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Bangunan Stadthuys, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, dalam beberapa siri rundingan itu, pemilihan logo parti pembangkang antara perkara yang dibincangkan.

“Perkara itu akan kita runding bersama blok pembangkang dan akan diumumkan bersama selepas ini yang mana rundingan itu telah bermula beberapa kali dan akan diumumkan bersama.

“Saya dimaklumkan PH sedang membincangkan logo apa bersesuaian pertandingan ini, tetapi yang jelas mana-mana gabungan kita sertai, kita perlu tekankan tiga perkara iaitu, politik rakyat berbilang bangsa dan agama, politik moderat dan politik dasar dan politik khidmat.

“Kita tolak politik katak, tidak berintergriti dan bersandarkan pangkat dan jawatan semata mata,” katanya.

Mengulas mengenai calon MUDA yang akan diketengahkan, Syed Saddiq berkata, calon berpengalaman serta mempunyai rekod cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat akan dipilih.

SYED Saddiq bersama Ketua MUDA Melaka, Yosh Wong (kanan) pada sidang media mengenai pengumuman MUDA bertanding dalam PRN Melaka.

Katanya, calon itu juga tidak semestinya perlu mempunyai latar-belakang politik, tapi apa yang penting ialah berhasrat untuk membawa perubahan dalam landskap politik Melaka.

“Kita memang mempunyai calon dinamik MUDA berpengalaman dan jelas ada ‘track record’ berkhidmat contoh Ketua MUDA Melaka, Yosh Wong yang telah menggerakkan pelbagai aktiviti membantu dan membela golongan susah di Melaka.

“Mereka yang sebelum ini tidak pernah sertai lanskap politik, tetapi ada hati untuk terus berkhidmat tanpa jawatan dan pangkat, ini adalah masa mereka menyerlahkan diri berkhidmat untuk mengubah Melaka, mengubah Malaysia,” katanya.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 8 November manakala hari penggudian awal pada 16 November dan hari pembuangan undi pada 20 November.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

845
Kongsi :
Previous post Peruntukan RM2 juta pamer budaya, identiti masyarakat India di Melaka
Next post PRN Melaka: PN pertaruh calon berpengalaman, muka baharu
Ubah saiz-+=