MUFC kekalkan 70 peratus muka lama

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDA HILIR 20 Dis. – Melaka United FC (MUFC) akan mengekalkan kira-kira 70 peratus pemain sedia ada bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021, tahun depan.

Ketua Jurulatihnya Zainal Abidin Hassan berkata, keputusan itu dibuat berikutan pengurangan bajet pasukan yang diperuntukkan untuk musim hadapan.

Bagaimanapun, beliau percaya pengurangan itu sama sekali tidak akan memberi kesan, sebaliknya yakin dengan peruntukan tersebut, beliau berupaya menyediakan kesebelasan yang dapat memberi saingan dalam aksi Liga Super musim 2021.

“Boleh dikatakan 70 peratus pemain dikekalkan dan kita juga telah mengenal pasti beberapa pemain baharu yang kini berada pada fasa akhir rundingan.

“Pemain baharu yang kita bawa masuk ada yang merupakan bekas pemain kebangsaan dan ada juga pemain baharu yang kita intai kini sedang dalam usaha menembusi skuad kebangsaan.

“Untuk skuad utama musim depan, saya merancangan gabungan pemain-pemain berpengalaman, manakala untuk skuad kedua kita akan cuba membangunkan pemain-pemain muda,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kongres Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) ke-65 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pemain import, Zainal memaklumkan pihaknya akan mengekalkan dua pemain import lama iaitu Jang Suk-won dan Sony Norde, manakala akan mencari tiga lagi pemain import baharu untuk memperkuatkan pasukan.

“Kita masih lagi berunding dengan pemain-pemain ini. Apa pun, kita yakin senarai itu akan kita lengkapkan selewat-lewatnya pada minggu hadapan,” ujarnya.

Views:

625
Kongsi :
Previous post Dua hala tuju pacu kemajuan MUSA
Next post Semarak cinta perkukuh institusi keluarga
Ubah saiz-+=