
NAHAS PELAJAR UPSI: PDRM TUBUH PETUGAS KHAS SIASAT INSIDEN KEMALANGAN RAGUT 15 NYAWA
Pasukan petugas khas itu turut disertai Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta pihak berkaitan untuk menyiasat kemalangan itu secara menyeluruh.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin.
Insiden di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, berdekatan Tasik Banding, Gerik, Perak pada 1.10 pagi itu berlaku apabila bas sewa khas membawa penuntut UPSI kampus Tanjung Malim tersebut terbalik selepas dikatakan terlanggar bahagian belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Terdahulu bas yang membawa 42 pelajar berusia 21 hingga 23 tahun untuk kembali ke kampus selepas cuti Aidiladha itu bertolak dari Jertih, Terengganu pada 9 malam tadi.
Seramai 13 mangsa maut di lokasi kejadian dan dua lagi meninggal dunia di hospital. Proses bedah siasat 13 jenazah dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala dua lagi di Hospital Gerik.
MPV yang dinaiki empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak itu pula terbabas dan menyebabkan pemandu serta penumpangnya mengalami kecederaan ringan.
Polis masih belum mengesahkan identiti kesemua mangsa yang terlibat termasuk 15 yang meninggal dunia berikutan proses bedah siasat masih berjalan.
Polis juga sedang menjalankan siasatan secara terperinci termasuk dari aspek teknikal, kecuaian manusia, mahupun rekod kesalahan lampau pemandu, selain tidak menolak kemungkinan keadaan geografi jalan di lokasi kejadian yang berselekoh, menurun bukit dan gelap tanpa lampu jalan, turut menyumbang kepada kejadian itu.
Sementara itu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan bantuan awal RM2,000 dan bantuan bencana RM1,000 kepada waris mangsa terlibat untuk meringankan beban waris termasuk urusan pengebumian jenazah.
Selain itu Kerajaan Negeri Terengganu akan menyalurkan bantuan segera kepada waris mangsa, manakala Kerajaan Negeri Perak mengumumkan sumbangan bantuan awal berjumlah RM1,000 setiap seorang bagi meringankan beban waris mangsa yang datang ke Perak bagi proses pengecaman dan menuntut jenazah.
Pengurusan UPSI turut menyediakan bantuan seorang kakitangan bagi setiap keluarga pelajar terlibat, untuk memastikan waris serta mangsa mendapat bantuan sewajarnya, sehingga semua urusan selesai.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Amal Komuniti Besut (Amal Besut) Terengganu juga tidak ketinggalan menghulurkan bantuan awal menghantar 19 van jenazah ke Perak bagi urusan membawa pulang jenazah pelajar terlibat.
Kementerian Kerja Raya (KKR) pula mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk bekerjasama dengan pihak konsesi penyelenggaraan jalan bagi memberi bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal.
Insiden berdarah itu mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga 15 pelajar terbabit.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan anggota kabinet juga menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa menerusi hantaran di Facebook masing-masing.
Rentetan insiden itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Dana Tabung Kecemasan Pelajar Nasional untuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyediakan bantuan segera kepada keluarga mangsa tragedi termasuk rawatan psikologi, pemulihan dan bimbingan.
Ini bukan kali pertama kemalangan bas yang meragut nyawa dipengaruhi faktor pemandu, dengan kali terakhir berlaku pada 24 Dis 2016 yang menyebabkan 14 maut dan 16 cedera apabila sebuah bas ekspres terjunam ke dalam cerun sedalam 20 kaki di KM137 Lebuh Raya Utara Selatan, berdekatan Kampong Jayo, Muar, Johor.
Tragedi yang merekodkan jumlah kematian tertinggi pula berlaku pada 21 Ogos 2013 apabila 37 orang termasuk pemandu bas maut, manakala 16 lagi cedera selepas bas yang membawa 52 penumpang terbabas dan terhumban 60 meter ke dalam gaung di KM3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.