
PPSPM TUMBANG SEEKOR LEMBU, AGIH LEBIH 100 KILOGRAM DAGING
BANDARAYA MELAKA 9 Jun – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) tidak ketinggalan untuk melaksanakan ibadah korban melibatkan seekor lembu yang ‘ditumbangkan’ pada Program Ibadah Korban PPSPM di Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, meskipun sibuk melakukan persiapan bagi menjayakan pelbagai acara pelancongan sepanjang tahun ini, kakitangan PPSPM tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah korban yang turut mencerminkan kesepakatan antara mereka.
Katanya, apa yang menarik program itu berjalan lancar kerana tugas seperti melapah, menimbang dan membungkus daging korban dilaksanakan secara gotong-royong oleh kakitangan PPSPM sendiri.
“Bagi memudahkan urusan lembu berkenaan disembelih di pusat penyembelihan, kemudian dibawa ke pejabat. Sebagai cara atau keadah mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan kakitangan, kami turut bergotong-royong memasak sup tulang yang kemudian dijamah bersama-sama sebagai hidangan makan tengah hari.
“Meskipun kepenatan tetapi semua orang gembira dapat melaksanakan ibadah korban. Lebih 100 kilogram daging korban hasil daripada lembu yang ditumbangkan diagihkan kepada semua kakitangan PPSPM,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program itu.
Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berharap program seperti itu dapat dianjurkan lagi pada sambutan Hari Raya Aidiladha tahun hadapan kerana amat memberikan manfaat terutama dalam memupuk semangat kerjasama.
“Alhamdulillah, aktiviti penuh bermakna dapat diteruskan lagi pada tahun ini yang mana seekor lembu dikorbankan dan semua kakitangan PPSPM menerima manfaat, semua ini mengeratkan lagi silaturahim sesama kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.