
NAIK TARAF LALUAN KE PLAZA TOL SIMPANG AMPAT DIJANGKA SIAP AWAL 2028
TABOH NANING 3 September – Projek pembesaran laluan menuju Plaza Tol Simpang Ampat bernilai RM19 juta dijangka siap awal 2028, sekali gus membantu melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, kerja pembesaran laluan itu kini sudah dimulakan secara berperingkat selepas kontraktor dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Alhamdulillah, pihak JKR telah melantik kontraktor dan saya juga telah diberikan taklimat mengenai projek pembesaran jalan yang telah bermula dan setakat ini saya berpuas hati.
“Cuma saya ada suarakan beberapa pandangan supaya laluan yang dinaik taraf ini nanti dapat memudahkan pengguna jalan raya untuk memasuki Lebuh Raya Tol Simpang Ampat dan alhamdulillah pandangan saya diterima,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Zulkiflee berkata, projek yang dijangka mengambil tempoh kira-kira setahun itu akan menyaksikan laluan di bawah jambatan dan selepas jambatan menghala ke plaza tol itu diperbesarkan kepada tiga lorong bagi melancarkan pergerakan trafik.
Katanya, daripada tiga lorong berkenaan, satu lorong akan menghala ke Taboh Naning dan Kendong, manakala dua lorong lagi akan terus menuju ke Plaza Tol Simpang Ampat.
“Dengan pembesaran ini, saya harap masalah kesesakan bagi pengguna yang menuju ke Tol Simpang Ampat dapat dikurangkan.
“Insya-Allah, semoga projek ini dapat berjalan dengan lancar dan siap mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

