‘Nak cabar di mahkamah, tapi PRN bertanding ke tak?’

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

SERI BENDAHARA 23 Okt. – “Kalau kata nak cabar (di mahkamah) itu hak dia (Adly Zahari). Tapi kalau betul nak cabar ke mahkamah, masa Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti bertanding ke tak?”

Itu jawapan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berhubung isu saman yang difailkan Pakatan Harapan (PH) Melaka terhadap keabsahan pembubaran Dewan Undangan (DUN) Melaka, 4 Oktober lalu.

Katanya, sesiapa sahaja mempunyai hak untuk membawa sesuatu perkara ke mahkamah.

Justeru, katanya, biarlah undang-undang menentukan pihak yang benar atau salah.

“Ia (saman) sudah difailkan, teruskanlah. Kita tunggu mahkamah dan saya serah kepada perundangan.

“Saya tidak boleh kata apa-apa, Terpulang kepada mereka,” katanya yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan sempena Sambutan Deepavali anjuran Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada akan terus mempertahankan kerusi DUN Lendu pada PRN nanti, Sulaiman menyerahkan semuanya kepada pucuk pimpinan parti.

“Saya pun tak tahu. Kalau ada, saya terima. Kalau tidak ada, tak apa.

“Saya tahu banyak muka-muka baharu yang ada, jadi, saya serah kepada Presiden (UMNO) kerana semua calon-calon yang bertanding hanya diputuskan pucuk pimpinan tertinggi,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post PEMENANG: The Early Years of the Penang Malay Association
Next post MIC hanya bertanding satu kerusi di PRN Melaka
Ubah saiz-+=