Sorting by

×

Nantikan operasi ‘pasar subuh’ tidak lama lagi

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

JASIN 26 Jan – Kerajaan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri bakal memperkenalkan ‘pasar subuh’ yang akan beroperasi di 50 masjid sekitar Melaka.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Ghazale Muhamad berkata, perkara itu masih diperingkat perbincangan antara FAMA, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Persatuan Peniaga Kecil Melaka dan agensi berkaitan.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung dapat memeriahkan suasana di masjid pada awal pagi selain membantu usahawan tani menjana pendapatan.

“Perkara mengenai masjid bakal menjadi tapak pasar subuh masih diperingkat perbincangan, kena sesuai dengan keluasan dan jumlah peniaga boleh membuka gerai jualan.

“Perkara ini adalah cadangan kerajaan negeri dan FAMA diarahkan untuk melaksanakannya, jadi kita akan cuba buat sebaik mungkin.

“Dalam perancangan, pasar subuh ini akan bermula hujung Februari, operasinya dijangka bermula pada jam 6.30 atau 7 pagi,” katanya pada sidang media selepas meninjau Pasar Tani Khas Tahun Baharu Cina di Jasin, hari ini.

Ghazale berkata, setakat ini 11 Pasar Tani dan Melaka Agro Market (MAM) kendalian FAMA beroperasi di seluruh Melaka.

“Di sini (Pasar Tani dan MAM) menawarkan pelbagai barangan basah pada harga lebih rendah berbanding pasaran,” katanya.

Tambahnya, pihak FAMA turut menyasarkan nilai jualan sebanyak RM4 juta untuk kesemua Pasar Tani yang beroperasi di Melaka pada tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1236
Kongsi :
Previous post Kertas siasatan kes gangguan seksual ADUN telah lengkap
Next post 11,000 anggota polis pantau kelancaran PRN Johor
Ubah saiz-+=