Sorting by

×

Nelayan tersenyum harga belangkas naik

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

TANJUNG BIDARA 1 Feb – Dua tahun lalu harga belangkas cuma RM8 seekor tetapi sekarang sudah naik RM15, berikutan permintaan yang tinggi, sekali gus menceriakan nelayan.

Bagi Mohd Ali Abu Bakar, 53, peningkatan harga hidupan marin itu sedikit sebanyak membantu menambah pendapatannya yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan laut.

“Apa sahaja hasil laut tersangkut pada jaring adalah rezeki, saya tidak memilih dan kerana mahu wang lebih saya perlu mempelbagaikan kaedah menangkapnya.

“Kadang kala tiada ikan melekat pada jaring, jadi saya terpaksa membuang jaring belangkas di pinggir pantai demi sesuap nasi,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan pantai Pengkalan Balak, di sini.

Dia berkata, harga belangkas hanya RM5 seekor lima tahun lalu tetapi meningkat kepada RM8 seekor berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 2020 yang menyebabkan permintaan melebihi penawaran.

Harga hidupan marin berkenaan naik lagi secara berperingkat tahun lalu sebelum mencecah RM15 seekor sekarang berikutan persaingan antara peraih untuk mendapatkan belangkas sebelum memasarkannya ke Thailand.

Mohd Ali berkata, selain peraih, belangkas turut dijual kepada penggemar makanan eksotik dan enak dimasak lemak cili padi.

“Nak tangkap belangkas ada masanya, jaring hanya boleh dibuang ketika arus dasar laut tidak kuat berdasarkan kalendar Islam.

“Mengikut kalendar Islam, dalam sebulan ada dua kali arus dasar laut menjadi perlahan, dua kali juga arus menjadi kuat. Tempoh arus menjadi perlahan dan kuat ialah seminggu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7070
Kongsi :
Previous post Ops TBC: 24,708 kenderaan disaman dalam tempoh enam hari – KP JPJ
Next post YB Along teruskan tradisi edar limau mandarin
Ubah saiz-+=