Nenek parah, berisiko lumpuh dikejar kera

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KOTA LAKSAMANA 10 Jan. – Malang buat seorang warga emas yang berisiko lumpuh apabila patah tulang paha dan pinggul kiri dipercayai terjatuh ketika dikejar kera di halaman rumahnya di Kampung Morten pagi semalam.

Sidang Kampung Morten Ahmad Safwan Salim berkata, dalam kejadian 8.30 pagi semalam, wanita warga emas berusia 73 tahun terbabit ketika itu sedang membersihkan halaman rumahnya.

“Ketika dia yang tinggal bersendirian sedang membersihkan halaman rumah, tiba-tiba seekor kera cuba menyergahnya menyebabkan warga emas itu terkejut.

“Dalam keadaaan ketakutan, mangsa melarikan diri kerana bimbang diserang sebelum dipercayai jatuh tersungkur menyebabkan tulang paha kiri dan pinggulnya patah

“Difahamkan, mangsa perlu menjalani pembedahan atau jika tidak bersiko lumpuh,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini di sini hari ini.

AHMAD Safwan Salim

Menurut Ahmad Safwan, mangsa kemudian dibantu penduduk sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Tambahnya lagi, kes gangguan kera itu adalah yang kedua berlaku di kampung berkenaan sejak 2017 apabila habitat haiwan berkenaan di Taman Rumpun Bahagia, Bachang dibangunkan.

“Kes pertama berlaku pada 2019 yang turut mengakibatkan seorang warga emas patah kaki dikejar sekumpulan kera yang ingin mencari makanan di penempatan penduduk itu.

“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagaimanapun telah membuat tindakan proaktif dengan meletakkan sangkar untuk menangkap haiwan berkenaan,” katanya.

KAKITANGAN PERHILITAN memasang perangkap kera di Kampung Morten.

Selepas kejadian terbaharu semalam katanya, PERHILITAN negeri telah turun ke lokasi bagi menempatkan sangkar yang lebih besar menggantikan sangkar sedia ada.

“Diharapkan selepas ini akan ada tindakan segera untuk mengelakkan kecederaan yang lebih teruk kepada penduduk mahupun pelancong.

“Ini sekaligus menjaga imej Kampung Morten sebagai lokasi pelancongan terkenal di Melaka sejak sekian lama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri, Mohd. Firrdhaus Mahmood berkata, susulan kejadian kelmarin, pihaknya telah meletakkan semula sangkar berkenaan di kawasan itu.

“Selepas insiden 2019, kita telah memindahkan sangkar ke kawasan lain selepas mendapati kawasan itu pasif daripada serangan kera.

“Bagaimanapun semalam, kita telah letakkan semula sangkar disitu.

“Kita tidak boleh tembak lupus kera di situ kerana kawasan di sana mempunyai bangunan tinggi dan khuatir tembakan akan tersasar,” katanya.

Views:

1181
Kongsi :
Previous post Hampir RM80,000 diagihkan kepada murid
Next post COVID-19: 2,433 kes baharu, 9 kematian, 5 kluster hari ini – KP
Ubah saiz-+=