
‘NIGHT FARMING’ NANAS BERMULA TAHUN DEPAN
BUKIT KATIL 11 November – Kerajaan menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bakal memperkenalkan inisiatif ‘night farming’ atau berkebun pada waktu malam bagi tanaman nanas di seluruh negara bermula tahun depan.
Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata, inisiatif itu bakal diperkasa memandangkan kajian menunjukkan bahawa nanas lebih aktif pada waktu malam untuk membuat makanan, sekali gus dapat meningkatkan hasil dan produktiviti, selain boleh menjimatkan kos.
Pada masa sama, jelas beliau, aktiviti ‘Night Farming’ juga dapat membantu petani menuai satu lagi hasil daripada tanaman nanas iaitu kredit karbon, menerusi penggunaan solar, tenaga boleh diperharui daripada mesin dan pencahayaan, penggunaan sisa yang dibakar dan sebagainya.
“Di Malaysia, hanya dua tanaman sahaja yang membuat makanan pada waktu malam, satu nanas dan satu lagi adalah buah naga.
“Oleh sebab itu, sekarang LPNM sedang dalam usaha untuk menetapkan standard bagi tujuan pengiktirafan ‘carbon credit’ industri nanas ini bersama-sama SIRIM Berhad dan pihak kementerian.
“Apabila dimuktamadkan kelak, ‘carbon credit’ ini akan dipulangkan semula kepada pekebun dan semua yang terlibat dalam rantaian industri dan itulah sebabnya saya kata ia bakal menjadi tuaian keempat bagi nanas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Melaka 2025 yang disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh di Bayou Lagoon Park Resort, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah LPNM Negeri Sembilan / Melaka Siti Hajar Ramlee.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuzamri berkata, berdasarkan kajian awal yang dijalankan mendapati, apabila ‘Night Farming’ dilaksanakan, hasil tuaian nanas dapat disingkatkan atas beberapa faktor.
“Antaranya dalam sudut produktiviti, di mana, aktiviti berkebun pada waktu malam kurang memenatkan berbanding siang, di mana seorang pekebun boleh mengusahakan 3,000 hingga 6,000 nanas setiap seorang.
“Mengambil contoh penanaman nanas MD2, kita mendapati apabila night farming dilaksanakan, tuaian yang mengambil masa 14 bulan dapat disingkatkan kepada 11 bulan sahaja.
“Jadi, kita akan terus mengumpulkan data-data supaya dapat membentuk satu program yang memberi impak besar kepada industri tanaman nanas negara pada masa akan datang,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


