Norhizam, pulangkanlah kenderaan rasmi kerajaan’ – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

TANGGA BATU 9 Okt. – “Dia sendiri yang letak jawatan dan tidak lagi bersama kerajaan (sementara) sekarang, jadi dia bukan lagi Exco Kerajaan Negeri dan perlu memulangkan segala kemudahan sebelum ini.

Itu kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berhubung isu yang dibangkitkan bekas Exco Pertanian yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee kerana enggan memulangkan semula kenderaan rasmi dan kemudahan kerajaan.

Sulaiman berkata, tiada isu yang perlu timbul untuk pihaknya bersama Exco-exco lain memulangkan semula kemudahan itu kerana sehingga kini kerajaan sementara masih lagi berfungsi.

Justeru, jelasnya hanya tiga Exco yang meletak jawatan sahaja perlu memulangkan kemudahan itu kerana kesemua mereka telah menghantar surat letak jawatan serta-merta Isnin lalu.

“Datuk Norhizam, semua kereta adalah milik kerajaan dan perlu dipulangkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Mereka sendiri yang menghantar surat letak jawatan kepada saya dan Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam sebelum ini.

“Jadi, segala kemudahan dan hak-hak kerajaan perlulah dipulangkan balik kerana mereka tidak lagi bersama kerajaan yang ada sekarang,” katanya ketika ditemui menyempurnakan gimik penyerahan rumah kepada enam beradik yatim piatu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, sekiranya beliau tidak lagi menjadi kerajaan sementara (caretaker) selepas ini, pihaknya tidak ada masalah untuk memulangkan segala kemudahan yang ada.

“Saya (sekarang ini) cuma caretaker sahaja. Kalau caretaker sudah tidak ada dan minta saya untuk turun, saya tiada masalah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post Royalti pasir: Melaka sedia beri kerjasama dengan SPRM
Next post PRN Melaka: KKM sudah sediakan SOP sekiranya dilaksanakan – KJ
Ubah saiz-+=