Sorting by

×

Op Selamat 18: Polis Alor Gajah keluar 565 saman

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

ALOR GAJAH 7 Mei – Sebanyak 565 saman dikeluarkan Polis Alor Gajah dalam tempoh lapan hari Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 29 April lalu sehingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, kesemua kesalahan di kesan di pintu masuk Plaza Tol Ayer Keroh dan Simpang Ampat yang melibatkan kereta serta motosikal.

TIMBALAN Ketua Polis Daerah Alor Gajah Deputi Superintendan Azrul Mohamed memeriksa pemandu kenderaan pada Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Simpang Ampat. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Daripada 565 saman dikeluarkan sebanyak 302 adalah atas kesalahan mengikut POL 257, 238 saman lagi atas kesalahan POL 170 iaitu memandu melebihi had laju. Sementara itu 25 saman lagi membabitkan pelbagai kesalahan lain.

“Sepanjang tempoh sama kami merekodkan 168 kes kemalangan yang menyebabkan satu kes maut manakala 23 lagi mengalami kecederaan,” katanya pada sidang media Op Selamat 18 di Plaza Tol Simpang Ampat, di sini petang tadi.

ANGGOTA trafik mengawal aliran lalu lintas pada Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Simpang Ampat. Foto Iqmal Haqim Rosman

Azrul berkata jumlah kemalangan yang dicatatkan pada Op Selamat sempena Aidilfitri kali ini menunjukkan peningkatan sebanyak dua kes kepada 168 berbanding 166 dua tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kemalangan maut menurun kepada cuma satu kes berbanding empat yang dicatatkan pada 2019.

KEADAAN trafik perlahan dengan jumlah kenderaan yang mula bertambah berikutan orang ramai pulang ke kediaman masing-masing selepas menyambut perayaan Aidilfitri di Plaza Tol Simpang Ampat. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya, rekod semasa Op Selamat menunjukkan sebanyak 164,915 kenderaan memasuki Melaka menerusi Plaza Tol Simpang Ampat manakala 202,627 lagi melalui Plaza Tol Ayer Keroh.

Mengikut rekod, Op Selamat telah dijalankan bermula dari 29 April dan dijadual berakhir esok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1477
Kongsi :
Previous post Pemotong rumput maut dirempuh MPV
Next post Polis cari lelaki warga Bangladesh bantu siasatan kes bunuh
Ubah saiz-+=