Sorting by

×

OPERATOR KILANG TEMUI AJAL DALAM PERJALANAN BALIK KERJA

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KLEBANG 28 Mei – Seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang keluar dari simpang di Jalan Tanjung Minyak – Bukit Rambai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.25 malam, mangsa, Muhammad Shafie Sha’ari, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kaki dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Lebuh AMJ menuju ke Tanjung Kling untuk pulang ke rumah dari tempat kerja.

Katanya, ketika melalui lokasi, sebuah kereta jenis Mitsubishi Xpander dipandu seorang guru wanita berusia 50 tahun dipercayai telah keluar dari simpang Jalan Arked Seri Rambai 1 menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan telah melanggar bahagian hadapan kiri kenderaan utiliti sukan (SUV) itu.

“Pemandu kereta memaklumkan telah melihat ke kiri dan kanan jalan sebelum keluar dari simpang, namun dipercayai tidak menyedari motosikal Honda RS-X yang sedang bergerak lurus.

“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan dan pemandu kereta telah diarah menjalani saringan air kencing dan alkohol dalam darah.

Katanya, kedua-dua kenderaan terlibat juga telah dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (PUSPAKOM) bagi tujuan pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3412
Kongsi :
Previous post WARISAN PULAU NANGKA TERUS DIPELIHARA
Next post MELAKA PROMOSI SEKTOR SEMIKONDUKTOR DI SINGAPURA