Sorting by

×

MELAKA PROMOSI SEKTOR SEMIKONDUKTOR DI SINGAPURA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Penyertaan Melaka dalam SEMICON Southeast Asia 2025 di Singapura dari 20 hingga 22 Mei lalu merupakan langkah strategik bagi menarik pelaburan asing dalam sektor semikonduktor ke negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, penyertaan tersebut juga bertujuan mempromosikan Melaka sebagai hab teknologi masa hadapan bagi pemain industri global.

“Kita ambil bahagian sejak tahun lalu (2024) dan tahun ini kita datang untuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi bagi pemain-pemain industri dalam sektor semikonduktor datang ke sini kerana negeri ini ada ekosistem yang cukup kuat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Ginie, penyertaan itu juga membuka peluang kepada kerjasama strategik, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan, termasuk mempromosikan Taman Teknologi Jerman (GTP) dan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berteraskan semikonduktor.

“Penyertaan kali ini merupakan kesinambungan daripada usaha Negeri Melaka yang telah bermula sejak tahun lalu dalam membina kedudukan sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

“Kita juga menerima sokongan baik daripada pihak berkepentingan untuk Melaka terus menarik pelabur-pelabur dalam sektor semikonduktor,” katanya.

Tambahnya, delegasi Kerajaan Negeri Melaka yang diketuai Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar turut mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat dari Eropah bagi memperkenalkan GTP sebagai hab inovasi berteknologi tinggi di Asia Tenggara.

“Kita juga mengadakan perbincangan awal bersama beberapa pihak antarabangsa yang menunjukkan minat untuk menjalin kerjasama dalam bidang TVET, bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir selari dengan keperluan industri semikonduktor.

“Usaha ini membuktikan komitmen kami untuk membina ekosistem yang holistik, bukan sahaja dari sudut infrastruktur dan pelaburan, tetapi juga dari segi pembangunan modal insan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

683
Kongsi :
Previous post OPERATOR KILANG TEMUI AJAL DALAM PERJALANAN BALIK KERJA
Next post WRUR: HAMPIR 80 PERATUS ADUAN DUN LENDU SELESAI