‘Orang Melaka hebat’ – KP Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

TELOK MAS 20 Nov – Tiada sebarang provokasi atau insiden tidak diingini berlaku sepanjang proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada pagi ini, kata Ketua Polis Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan dilakukan mendapati proses pengundian berjalan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Malah, katanya, baik pengundi mahupun parti politik dan calon bertanding menunjukkan sikap matang hingga membuatkan hari pengundian berlangsung dalam suasana aman buat masa ini.

Sementara itu, orang ramai turut memuji kelancaran SOP yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRN Melaka ini.

Hamidah Mat, 67 yang hadir ke Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau 1 bersama dua anaknya berkata, mereka tidak perlu menunggu lama untuk menunaikan tanggungjawab demi menentukan masa depan negeri Melaka.

HAMIDAH (tengah) bersama anak-anaknya berpakaian baju kurung sedondon di pusat pengundian SK Merlimau 1.

“Alhamdulillah, cepat dan mudah untuk mengundi. Tiada yang bersesak-sesak dan semua petugas sangat membantu.

“Sistemnya juga berjalan lancar sama seperti ketika menerima vaksin COVID-19 sebelum ini,” katanya.

Nada sama turut disuarakan seorang pekerja swasta Norasyidah Jamal, 32, yang mengundi di SK Tun Syed Ahmad Shahabudin.

Katanya, walaupun perlu melalui SOP ketat, namun perjalanan di setiap peringkat berjalan begitu lancar.

“Hanya 15 minit sahaja diperlukan untuk mengundi dan segala-galanya mudah.

“Alhamdulillah semua pengundi juga patuh pada SOP yang ditetapkan petugas sepanjang proses pengundian ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

733
Kongsi :
Previous post [Galeri Foto] Suasana sekitar hari mengundi PRN Melaka
Next post ‘Bossku’ bawa aura buat pengundi Lendu
Ubah saiz-+=