Sorting by

×

Paip air baharu atasi masalah tekanan air rendah Sungai Rambai

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

SERI NEGERI 30 November – Projek pemasangan paip bersaiz 450 milimeter (mm) jenis besi keluli dari Kolam Air Bukit Perah ke persimpangan Batu Gajah melalui Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) akan dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah tekanan air rendah di kawasan Sungai Rambai.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pemasangan paip sejauh empat kilometer itu menelan kos sejumlah RM3 juta.

Katanya, punca tekanan air di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai adalah disebabkan bekalan air di kawasan tersebut diperolehi dari Tangki Air Sungai Rambai yang mana ketinggian tangki ini tidak dapat memberikan tekanan air yang mencukupi ke kawasan lebih luas.

“Justeru, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan melaksanakan projek pemasangan paip berkenaan sejauh empat kilometer, bagaimanapun projek ini telah ditenderkan pada 8 November lalu dan ditutup pada 29 November 2023 manakala tempoh untuk siap adalah 40 minggu selepas kontraktor dilantik.

“Ini adalah merupakan ‘feeder’ kedua bagi menyalurkan air bersih ke kawasan sebahagian DUN Sungai Rambai iaitu Batu Gajah, Parit Penghulu, Parit Perawas dan kawasan sekitarnya,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) mengenai masalah tekanan air rendah di DUN Sungai Rambai pada hari keempat Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hameed berkata buat masa ini tiada keperluan untuk membina tangki air baharu disebabkan projek Loji Air Merlimau Fasa II yang bernilai RM149 juta telah dilaksanakan dan dijangka siap pada 30 November 2023 (hari ini).

“Skop projek tersebut mempunyai beberapa komponen antaranya adalah pembinaan loji air baru berkapasiti 55 juta liter sehari, pembinaan tangki menara Bukit Perah sebanyak dua nos iaitu berkapasiti satu juta liter setiap satu.

“Selain pembinaan tangki air Bukit Batu berkapasiti 18 juta liter dan pemasangan paip 1,400 mm dan 1,200 mm dari Loji Air Merlimau ke Bandar Melaka melalui Lebuh AMJ.

“Justeru itu, pihak SAMB akan membuat penstrukturan semula tangki-tangki air di loji air Merlimau bagi membolehkan bekalan air disalurkan ke kawasan DUN Sungai Rambai mencukupi dan sebahagian air akan disalurkan ke Bandar Melaka melalui paip jajaran sepanjang Lebuh AMJ,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1343
Kongsi :
Previous post Advokasi keselamatan jalan raya berkesan kurangkan pengguna tiada lesen
Next post Sumber air mentah baharu untuk penduduk Kuala Linggi
Ubah saiz-+=