Pakai lambang PN, bukan bermaksud PAS, BN bermusuh

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 2 Nov – Pesuruhjaya PAS Melaka Datuk Kamarudin Sidek menegaskan ketetapan menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bukan bermakna hubungan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah terlerai.

Sebaliknya, beliau berkata, wadah dalam Muafakat Nasional (MN) masih diteruskan dan ketetapan menggunakan lambang PN adalah berikutan gabungan perikatan itu sudah didaftarkan.

Katanya, ketiga-tiga parti baik PAS, UMNO mahupun Bersatu masih mempunyai misi utama iaitu untuk menentang Pakatan Harapan (PH) daripada menguasai Melaka.

“Maknanya, selepas PRN nanti, PN yang merangkumi PAS dan Bersatu akan tetap membentuk kerajaan bersama BN (jika mendapat majoriti).

“Bagaimana yang berlaku di peringkat pusat, itu jugalah yang akan kita bawa di peringkat negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Kamarudin turut menjelaskan kekeliruan daripada laporan sebelum ini yang mendakwa PAS akan tarik diri sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru.

Beliau menjelaskan, PAS bukanlah akan menarik diri, sebaliknya hanya akan menarik sokongan di sesuatu kawasan yang berlaku pertembungan di antara BN dan PN.

“Maknanya, kita tidak akan sesekali menyokong sekiranya berlaku pertindihan atau pelanggaran kerusi antara kedua-dua pihak.

“Untuk elak tiga penjuru adalah persetujuan bersama, tapi tak mustahil akan berlaku juga pelanggaran kerusi yang akan ditandingi dan satu dua kawasan (DUN) nanti.

“Jadi, ketetapan kita ialah untuk tidak memberi sokongan sekiranya perkara itu berlaku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1723
Kongsi :
Previous post Ceramah politik berkaitan PRN Melaka tidak dibenarkan – KP
Next post PN gabung tiga jentera parti komponen gerak kempen
Ubah saiz-+=