
PAKEJ ‘SUNSET CRUISE’ TAWAR SUASANA ROMANTIK DAN SANTAI
BANDARAYA MELAKA 12 Julai – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) memperkenalkan dua pakej pelayaran ‘Sunset Cruise’ sempena Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC2025).
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, dua pakej itu melibatkan pelayaran menelusuri Sungai Melaka dan seterusnya ke perairan Selat Melaka.
“Pakej pertama ialah Sunset Cruise dari muara Sungai Melaka hingga ke perairan Selat Melaka sekitar Masjid Selat, mereka berminat juga boleh memilih pelayaran bermula dari Taman Rempah hingga ke muara sungai.
“Kedua-dua pakej ini menawarkan pemandangan matahari terbenam di Selat Melaka yang sangat menakjubkan dan penuh panorama indah,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Taman Rempah, Pengkalan Rama, di sini.

TAWARAN pelayaran romantik dan santai bersama Pakej Sunset Cruise ditawarkan PPSPM.
Menurutnya, harga pakej bermula serendah RM35 seorang (pakej Sunset Cruise di laut), manakala pakej lengkap bersama hidangan makan malam ditawarkan pada harga RM45 seorang (pakej Sunset Cruise di Sungai Melaka).
“Untuk promosi permulaan, Sunset Cruise dari muara Sungai Melaka ke Masjid Selat berharga RM35 untuk satu jam pelayaran, termasuk masa berhenti menyaksikan keindahan matahari terbenam.
“Manakala pakej dari Taman Rempah ke muara Sungai Melaka berharga RM45, termasuk makanan ringan untuk setiap penumpang,” katanya.
Katanya, tawaran kedua-dua pakej ini telah bermula sejak awal bulan ini dan orang ramai terutamanya rakyat Melaka digalakkan untuk mencuba sendiri pengalaman tersebut.
“Kami mengalu-alukan semua rakyat Malaysia untuk cuba menikmati pengalaman ini. Ia bukan sahaja memberi suasana romantik dan santai, tetapi memperlihatkan keindahan Melaka dari sudut berbeza, terutama menjelang waktu senja,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.