Sorting by

×

TOK RAUF KONGSI KEMAJUAN KAMPUNG PULAU

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

TANJUNG BIDARA 21 Mac – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkongsi pencapaian dan kemajuan Kampung Pulau dalam tempoh hampir sepenggal pentadbirannya sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Menurut beliau, antara kemajuan yang bakal dinikmati penduduk adalah pembinaan sebuah kompleks Islam yang dinamakan Balai Islam Kampung Pulau bernilai RM10 juta.

Jelas beliau, balai Islam itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan, antaranya masjid, sekolah tahfiz, sekolah agama, dewan terbuka dan pusat pengurusan jenazah.

Selain itu, ujar Ab Rauf, Kampung Pulau juga menjadi kampung perintis Kampung Digital dan Kubur Digital, di mana inisiatif itu memberi kemudahan kepada penduduk kampung dalam urusan surat menyurat dan pengesanan kubur waris-waris yang telah meninggal dunia.

“Alhamdulillah untuk Kampung Digital, semua rumah-rumah di Kampung Pulau telah dinomborkan dan memiliki kod respon pantas (QR) yang memudahkan pencarian alamat serta urusan surat menyurat, termasuk urusan kerajaan.

“Saya harap semua penduduk dapat menukar kad pengenalan secara percuma dengan segera kerana bermula pada tahun depan, semua urusan kerajaan perlu menggunakan alamat baharu dan tidak lagi boleh menggunakan alamat lama yang dengan sistem perbatuan seperti sebelum ini.

“Manakala, untuk Kubur Digital pula, Kampung Pulau turut menjadi perintis kepada inisiatif menomborkan kubur-kubur ini untuk memudahkan waris dan generasi akan datang mengesan pusara datuk, nenek, moyang kita dan alhamdulillah kampung ini juga akan menjadi rujukan bukan sahaja untuk Negeri Melaka, tetapi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sedikit ucapan sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ar-Razak Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Img 20260321 124814 232
AB Rauf menyantuni orang kampung selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ar-Razak Kampung Pulau. Foto Afiq Mustaffa

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut berkongsi pembinaan sebuah jalan baharu dari Paya Lebar yang bersambung ke Pengkalan Balak dan turut memberi tempias kepada kampung berkenaan.

Tidak hanya itu, ujar Ketua Menteri sebuah lebuh raya pesisir pantai yang akan dibina dari Kuala Lumpur hingga ke Pasir Gudang juga turut melibatkan susur keluar di persimpangan Jeram, sekali gus bakal melonjakkan ekonomi warga Masjid Tanah.

“Insya-Allah projek-projek besar ini bukan sahaja bakal memacu ekonomi, bahkan dapat memaju dan memakmurkan lagi kampung kita ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post ‘BOT KUDA BELANG’ HIASI SUNGAI MELAKA
Next post KETUA MENTERI HARGAI PENGORBANAN RAKYAT MELAKA BERTUGAS DI HARI RAYA