AKADEMIK DAN KEROHANIAN PERLU SEIRING BENTUK GENERASI MELAKA CEMERLANG

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TABOH NANING 22 November – Pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi berkualiti, berilmu dan berakhlak mulia perlu dilaksanakan secara berterusan sejak peringkat kanak-kanak.

Timbalan Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, pendedahan serta didikan awal perlu seimbang antara kecemerlangan akademik dengan pengukuhan kerohanian bagi membentuk generasi yang mempunyai jati DIRI yang teguh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning itu berkata, peranan guru di institusi pendidikan awal termasuk Tabika Perpaduan dan Sekolah Rendah Agama (SRA) amat penting dalam menyemai nilai positif serta membentuk keperibadian anak-anak.

“Anak-anak hari ini adalah permata amat berharga yang bakal mencorakkan masa depan negara dan Negeri Melaka.

“Semoga anak-anak Melaka ini terus melakar kejayaan, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah cemerlang dalam sahsiah dan pegangan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Apresiasi, Sambutan Hari Lahir Murid dan Majlis Akhir Tahun Tabika Perpaduan Taman Sri Naning Tahun 2026 di Dewan Terbuka Taman Sri Naning, pada Sabtu.

Zulkiflee turut menghadiri Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid dan Graduasi Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Simpang Empat di Dewan Japerun Taboh Naning.

Zulkiflee turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua murid yang menerima penghargaan atas pencapaian masing-masing, selain berharap kejayaan yang diraikan menjadi pemangkin untuk mereka terus maju dalam perjalanan pendidikan.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua anak-anak yang menerima penghargaan. Semoga kejayaan kecil hari ini menjadi langkah pertama menuju kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Terima kasih dan syabas kepada para guru, ibu bapa serta pihak penganjur atas segala usaha dan komitmen dalam menjayakan majlis yang cukup bermakna ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

104
Kongsi :
Previous post TAMBAH BEKALAN AYAM, BARANGAN ASAS PROGRAM JUALAN RAHMAH DURIAN TUNGGAL