MAIM PERUNTUK RM3.28 JUTA BANTUAN PERSEKOLAHAN 9,380 ANAK ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BEMBAN 23 November – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntukkan sejumlah RM3.28 juta bagi menyediakan bantuan persekolahan kepada 9,380 anak asnaf seluruh negeri ini.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban keluarga membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan baharu tahun hadapan.

Katanya, peruntukan disediakan juga akan memastikan anak-anak daripada keluarga asnaf mendapat bantuan sewajarnya bagi membuat persiapan sebelum memulakan sesi persekolahan.

“Peruntukan untuk tahun ini sama seperti tahun lalu iaitu sejumlah RM3.28 juta untuk 9,380 anak asnaf yang berdaftar di bawah MAIM.

“Mereka yang berkelayakan boleh membuat semakan secara terus di kod imbasan di laman rasmi Facebook MAIM.

“Agihan dilakukan secara berperingkat mengikut parlimen ini adalah untuk memudahkan penerima hadir mengambil sumbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian Program Jom Ke Sekolah 2027M/1448H Bagi Anak-anak Asnaf, Fakir, Miskin Dan Mualaf MAIM, di Dewan Tok Senara, di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, majlis disempurnakan Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom dan hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bemban Dr. Mohd Yadzil Yaakub serta Pengurus Besar MAIM Holding Berhad, Amirul Basiron.

Menurut Shaifulfazlee, pada tahun lalu kadar agihan bantuan yang direkodkan MAIM hanya kira-kira 93 peratus, justeru pihaknya akan meneliti dan memperincikan faktor yang menyebabkan baki peruntukan tidak dapat diagihkan sepenuhnya.

“Apabila tidak dimanfaatkan sepenuhnya ia amat merugikan memandangkan peruntukan sudah disediakan khusus untuk membantu golongan asnaf.

“Untuk itu saya menyeru mereka yang layak untuk hadir dan mengambil bantuan diberikan ini. Besar harapan kami pihak MAIM untuk membantu anak-anak asnaf khususnya memulakan sesi persekolahan dengan semangat yang baharu, sekali gus mencapai kejayaan membanggakan,” katanya.

Jelas Shaifulfazlee, pihak MAIM turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pembayar zakat atas keprihatinan serta kesudian mereka berkongsi rezeki bagi membantu golongan asnaf, khususnya dalam menyediakan keperluan persekolahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

140
Kongsi :
Previous post KEBAJIKAN WARGA EMAS, EKONOMI BELIA JADI HARAPAN RAKYAT